Belia Islam Tahan Diuji

Leave a Comment

BANDAR HILIR 25 Julai – Lebih dari 100 orang peserta yang merupakan para pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) Melaka telah menyertai program Explorace PEMBINA 2010 yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Melaka.

Pengarah program, Mohd Nazeri Kamaruddin berkata, program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada belia terutama pelajar-pelajar baru IPT di Melaka tentang kekayaan khazanah bangsa di bumi Melaka Bandaraya Bersejarah di samping membawa peserta ke tempat-tempat menarik di sekitar Bandar Hilir.

Bermula tepat jam 9 pagi di Masjid al-Alami MITC, peserta dipandu agar menaiki bas awam ke Melaka Sentral, kemudiannya bergerak ke Banda Hilir sebelum tamat di Surau Warisan Dunia pada kira-kira 3 petang.


Pelbagai aktiviti  menarik dan mencabar perlu  dilalui oleh semua peserta  di setiap ‘check point’, antara lainnya adalah seperti membuat bendera, mengedarkan risalah dan poster, menatang bola takraw, memindahkan belut,  juga menjawab soalan-soalan kuiz dan lain-lain aktiviti fizikal mahupun IQ yang menguji kesabaran dan kemahiran setiap peserta.

“Banyak pengalaman yang kami dapat daripada program ini, terutamanya tentang reaksi dan persepsi masyarakat ketika kami mengedarkan poster Ayuh Solat. Kami juga belajar untuk tidak berputus asa, walaupun dalam kepenatan, kami tetap meneruskan perjalanan untuk sampai ke check point yang terakhir,” demikian kata-kata Khairul Aiman, salah seorang peserta dari Universiti Multimedia (MMU) Melaka.

Rata-rata peserta menunjukkan rasa  gembira dalam melalui pelbagai cabaran sepanjang program. Walaupun dalam keletihan, semua itu tidak menghalang mereka untuk terus menuju ke garisan penamat.

Acara ini telah dimenangi oleh kumpulan dari Politeknik Merlimau bagi kategori lelaki manakala kategori perempuan dimenangi oleh kumpulan dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

PEMBINA Melaka mengucapkan tahniah kepada semua peserta kerana telah berjaya melepasi halangan dan cabaran sepanjang Explorace ini berlangsung dan semoga pengalaman yang dilalui akan sentiasa menjadi kenangan manis yang tidak akan dilupakan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top