USRAH : MENJAWAB KONOTASI NEGATIF DAN SALAH FAHAM KE ATASNYA.

Disediakan oleh:Waeil Al Fawwaz
Pengerusi PEMBINA Pulau Pinang

1. Baru-baru ini tercetus suatu isu di media sosial di mana ada suara-suara melarang para pelajar IPT yang mendaftarkan diri untuk tidak terlibat daripada menyertai usrah.Tidaklah dinyatakan hujah pula mengiringi kenyataan kontroversi yang dangkal itu.Sekadar melarang.

2.Persepsi negatif ini berkemungkinan datang daripada sangkaan-sangkaan buruk yang barangkali melihat usrah sebagai salah satu medium yang menjadi alat parti politik merekrut ahli di universiti ataupun boleh menjadi salah satu bentuk serangan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dalam usaha menjatuhkan usaha dalam mengislahkan (baca:melakukan perubahan positif) diri mahasiswa.

3.Pun begitu,tidak dapat dinafikan sudah banyak hasil produk insan yang lahir daripada tulang sulbi usrah yang sudah berjaya dalam bidang masing-masing tanpa sedikit pun menggangu akademik para mahasiswa jika usrah dilaksanakan dengan cara dan pengurusan masa yang betul.

4.Bahkan,usrah sebenarnya ialah medium terbaik dalam memberi pendedahan khusus kepada para pelajar tentang ilmu yang tidak didapati di dalam bilik kuliah dalam ruang linkup yang kecil dan efektif.Misalnya,seorang pelajar kejuruteraan mampu untuk mendalami  serta mempelajari ilmu geopolitik dan sejarah yang boleh menjadi salah satu medium perbincangan antara naqib beserta ahli usrah lain yang mempunyai kepakaran dalam ilmu dan bidang tersebut.

5.Bagi penyampaian ilmu agama khususnya dalam ilmu Al Quran,naqib yang dilantik perlulah menguasai asas-asas mentadabbur Al Quran dalam memastikan mesej yang disampaikan mengesani ahli usrah seterusnya membuahkan amal dalam kalangan ahlinya (bukan menafsir Al Quran kerana ini memerlukan penguasaaan beberapa ilmu alat yang penting).

6.Tidak keterlaluan mengatakan bahawa ramai masyarakat mahasiswa yang kembali beramal dalam ajaran agama terutamanya dalam bab penjagaan ibadah.Hasil ini datang kerana objektif utama usrah itu sendiri yang memantau ahlinya supaya menjaga ibadah yang wajib dan nawafil (ibadah sunat seperti solat tahajjud) dalamĀ  memastikan urusan akhirat seorang mahasiswa itu lengkap dalam proses mereka menuntut ilmu.

7.Perkataan usrah yang bermaksud keluarga juga sering dikonotasikan sebagai perkara yang negatif oleh ramai pihak.Walhal medium ini ialah tempat yang mengumpulkan ahli-ahlinya yang inginkan bia’h (suasana) yang positif kerana elemen bi’ah ini memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah mahasiswa yang cemerlang serta memastikan aras iman seseorangĀ  mahasiswa itu kekal segar dan menaik melalui pesanan-pesanan serta taujihat yang membasahkan hati dan melembutkan jiwa.

8.Sungguhpun begitu,usrah juga perlulah dijalankan dengan lunas syarak yang betul serta mematuhi garis panduan piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak universiti agar mahasiswa yang terlibat tidak terlalu ghuluw (berlebih-lebihan sehingga menjadi ke tahap ekstremis) kerana Islam sendiri menuntut setiap daripada kita menjadi umat yang berpegang pada prinsip wasatiyyah (pertengahan) dalam sebarang muamalat hubungan sesama manusia.

9.Pada kala masyarakat mahasiswa diuji dengan masalah sosial yang mengancam jati diri serta nilai agama yang semakin hari semakin terhakis seperti gejala homoseksual,pemikiran liberalisme dan pluralisme yang mencabar nilai adat resam negara islam ini,usrah merupakan antara alat yang terbaik dalam menangkis masalah yang membarah ini dalam mengajak mahasiswa kembali ke arah penghayatan hidup beragama.

10.Dengan tagline “DUDUK SEBENTAR,BERIMAN SEJENAK” yang menjadi gagasan semua usrah hasil daripada buah fikiran seorang sahabat Rasulullah S.A.W.yang bernama Muadz Ibn Jabal ini,diharapkan masyarakat tidak lagi memandang usrah ini sebagai satu medium yang negatif,sebaliknya menjadi satu solusi buat mahasiswa yang inginkan perubahan kepada diri mereka dan orang lain!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top