PERJUANGAN YANG MENYATUKAN UMMAH

Perlantikan Yahya Sinwar pada 7 Ogos 2024 telah meletakkan fasa baharu di dalam
perjuangan di Palestin. Satu pelantikan yang berlaku ketika Taufan al-Aqsa telah berlaku
lebih dari 300 hari. Satu perjuangan yang meletihkan bagi sebahagian manusia tetapi bukan
bagi para mujahidin di Palestin. Seruan jihad yang dibawa oleh Ismail Haniyeh telah
disambung oleh Yahya Sinwar bagi menyatukan jiwa-jiwa umat Islam dalam usaha
memerdekakan Palestin dan mengembalikan kesucian Baitulmaqdis.


Satu perkara yang perlu diteliti oleh ummah di dalam peristiwa bersejarah ini adalah
bagaimana ummah perlu bersama di dalam usaha membebaskan Palestin. Kesatuan
ummah yang sudah pudar kerana sifat hipkorit sesetengah manusia. Kepentingan negara
dari sudut ekonomi dan keselamatan menjadi alasan utama bagi sesetengah pemimpin
Islam untuk lepas tangan daripada berjuang bersama-sama rakyat Palestin. Bahkan, ada
sebahagian negara-negara Islam dengan terang telah melakukan pengkhianatan secara
terang-terang dengan membantu Israel. Negara-negara Islam di sekitar Palestin seperti
Jordan, Mesir dan Saudi seolah-olah membutakan mata, memekakkan telinga dan
membisukan mulut ketika seruan jihad dan kesatuan ummah diseru bagi memerdekakan
Palestin.


Bagi memerdekakan Palestin, ummah perlu memahami bahawa usaha ini tidak boleh
dibiarkan kepada rakyat Palestin semata-mata. Islam mengajarkan konsep kesatuan
ummah, di mana semua umat Islam di seluruh dunia adalah satu tubuh yang tidak dapat
dipisahkan. Prinsip ini menekankan bahawa kesakitan yang dirasai oleh satu bahagian
tubuh harus dirasai oleh seluruh tubuh. Konflik Palestin bukan hanya masalah rakyat
Palestin semata-mata, tetapi merupakan tanggungjawab seluruh umat Islam untuk bersatu
dalam membela dan memperjuangkan hak-hak mereka. Penyatuan ini adalah langkah
pertama yang penting dalam usaha membebaskan Palestin.


Sejarah telah menunjukkan bahawa umat Islam pernah mencapai kejayaan besar ketika
mereka bersatu di bawah satu panji akidah yang benar. Zaman keemasan Islam, yang
meliputi pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab dan Salahuddin al-Ayyubi, adalah
contoh terbaik bagaimana kesatuan dan keimanan yang kukuh dapat membentuk
peradaban yang unggul. Bagaimana kedua-dua khalifah ini telah berhasil membuka
Baitulmaqdis dan membawa keadilan serta keamanan di tanah tersebut.


Dalam membicarakan isu Palestin, inilah asas yang perlu difahami dan diterap oleh ummah
sekiranya mahukan Palestin merdeka. Sokongan secara total moral, material, dan
diplomatik perlu diberikan kepada rakyat Palestin untuk memastikan mereka dapat terus
bertahan dan berjuang. Tekanan secara bersama negara-negara Islam kepada Israel dan
sekutu-sekutu mereka dalam pelbagai sudut antara usaha yang boleh dilakukan di dalam
memperlihatkan kebersamaan di dalam perjuangan ini. Pemboikotan ekonomi seperti yang
pernah dilakukan oleh Raja Faisal terhadap eksport minyak ke negara-negara Barat dalam
usaha menekan Israel dan sekutunya merupakan antara contoh yang terbaik untuk
dilakukan. Semua ini mampu dilakukan sekiranya kesatuan di antara ummah dapat
dilakukan.


المُ ؤْ مِنُ لِلْمُ ؤْ مِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا
“Mukmin dengan mukmin yang lain umpama sebuah bangunan, sebahagian mengukuhkan
sebahagian lain. (Hadis riwayat Muslim)”


Pengukuhan yang dimaknai oleh Nabi Muhammad di dalam hadis di atas merujuk kepada
satu bentuk kesatuan ummah. Simbol kepada kejayaan di Palestin dapat dilihat apabila
ummah berada di bawah satu lembayung yang sama. Seruan jihad dari kepimpinan tertinggi
Hamas perlu disahut bagi merealisasikan impian memerdekakan Palestin dan
mengembalikan kesucian Tanah Baitulmuqadis dari terus dinodai.

Disediakan oleh:
Shaikh Afiq
(JKC PEMBINA Bangi)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top