1. Seperti yang kita tahu, seluruh dunia sedang bertarung dengan wabak yang cukup membahayakan iaitu Corona Virus ataupun lebih dikenali dengan Covid-19.
2. Seiringan itu, kita semua diarahkan oleh Kerajaan Malaysia untuk duduk di rumah sebagai tanda perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac lalu.
3. Ada di antara kita yang memberontak dan menyalahkan kumpulan tertentu sebagai dalang tercetusnya wabak ini di Malaysia. Tetapi, kita lupa ada dalam kalangan kita yang diuji dengan kesakitan dan kehilangan orang tersayang disebabkan wabak ini. Ujian mereka lebih berat berbanding kita yang hanya diarahkan duduk di dalam rumah.
4. Kita sibuk meluahkan kebosanan kita duduk di rumah tanpa memikirkan perjuangan barisan hadapan yang terpaksa berhadapan dengan wabak ini pada setiap hari.Tetapi, lupakah kita bahawa setiap ujian yang melanda itu ada hikmahnya?
5. Percayalah, bahawa semua ini bukanlah bukti pengakhiran hidup kita. Suka saya ingatkan kembali tentang sejarah peristiwa Israk dan Mikraj dimana ianya merupakan sebuah titik permulaan Nabi Muhammad untuk meneruskan dakwahnya.
6. Sebelum peristiwa ini, Nabi Muhammad s.a.w berasa sangat sedih dengan apa yang menimpanya. Baginda dan umat Islam dihalau dari Makkah, kemudian Allah uji pula dengan kewafatan isterinya, Saiyidatina Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib.
7. Dengan ujian yang bertalu itu, Allah hadiahkan kepada Nabi Muhammad sebuah malam yang indah dan sebagai ubat kepada duka nabi. Malam yang menunjukkan isyarat bahawa suatu hari nanti Islam akan tertegak di bumi ini.
8. Jadi, yakinlah bahawa ujian Covid-19 ini juga mempunyai hikmahnya tersendiri. Allah menguji kita sebagai tanda cinta kepada hambaNya. Sabda Rasulullah s.a.w :
“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu kelelahan, atau penyakit, atau kekhuatiran, atau kesedihan, atau gangguan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya (dosa) kerananya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
9. Kesimpulannya, didiklah diri kita untuk bersabar dengan segala ujian yang Allah beri walau sebesar manapun ia dan percayalah, setiap ujian dan dugaan itu nikmat buat kita. Mungkin dengan ujian ini, kita semakin rapat hubungan dengan pencipta dan kembali menginsafi kesalahan kita.
Semoga kita semua diberi kekuatan menghadapi wabak ini dan semoga Allah membalas jasa para pejuang barisan hadapan dengan sebaik-baik ganjaran.
SALAM ISRAK MIKRAJ
#StayAtHome
Wallahu a’lam.
Nadhratul Hana’ Binti Mohd Soberi
Jawatankuasa Pemikir Kajian Pembina Pusat