Ipoh 31 Januari , Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Peguam Tuan Hj Azril Mohd Amin di atas segala sumbangan dan penglibatan dalam Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) khususnya dan kepada rakyat Malaysia amnya.
Tuan Hj Azril Mohd Amin di dalam blognya hari ini (31 Januari) telah mengumumkan perletakkan jawatan sebagai Naib Pengerusi PPMM yang telah disandangnya bermula dari Julai 2011 hingga 2013. Keputusan ini dibuat disebabkan beliau ingin memberikan tumpuan kepada firma guamannya.

Pengerusi PEMBINA Cawangan Ipoh, Saudara Aidil Idham menyifatkan bahawa perletakkan jawatan Tuan Hj Azril adalah satu kerugian dan kehilangan yang besar, “Saya yakin perletakkan jawatan Tuan Hj Azril pasti dirasai oleh kita semua kerana terlalu banyak sumbangan dan tunjuk ajar yang telah diberikan secara langsung mahupun tidak langsung terutamanya dalam memandu masyarakat muslim dalam melihat permasalahan melalui kerangka undang-undang. Namun, saya akur keputusan telah diambil oleh beliau. Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan selamat maju jaya kepada beliau.”
Sepanjang penglibatannya bersama PPMM, Tuan Hj Azril merupakan seorang yang sangat aktif dan sentiasa bersungguh-sungguh dalam mendepani isu-isu sosial masyarakat sebagai seorang peguam dan melalui penulisan di blognya. Beliau banyak memberi penerangan tentang Hak Asasi Manusia dalam pengamalan di Malaysia dan juga telah bersama-sama peguam muslim yang lain, berjuang di arena mahkamah dalam usaha mempertahankan Kalimah ‘Allah’ sebagai hak umat Islam. Selain itu juga Tuan Hj Azril merupakan Pengerusi MuslimUPRo (delegasi pertubuhan-pertubuhan Islam) telah menghadiri ke sesi Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) di Geneva, Switzerland pada 24 Oktober 2013 yang lalu.
