Tuntutan Comango Ancaman Besar kepada Negara

BANGI, 24 Ogos – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) hari ini membidas kenyataan YB Nurul Izzah yang mengulas tindakan COMANGO sebagai tidak bahayakan Negara. Menurut beliau, Kerajaan Malaysia akan secara aktif menjawab segala pendirian yang diambil oleh wakil NGO tersebut ketika mengulas tindakan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) menuntut pindaan dalam Perlembagaan dan undang-undang negara berkaitan hak asasi yang dibentang pada sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Siwtzerland, semalam.

Saudara Ibrahim Mohd Hasan, Presiden PEMBINA ketika ditanya menyatakan bahawa “Kita merasa hairan dalam banyak perkara beliau tidak pernah mempercayai kerajaan, terutamanya dalam aspek pentadbiran tetapi anehnya dalam isu ini beliau telah menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan untuk mempertahankan kedudukan Islam di Malaysia. Kita tidak mempersoalkan peranan kerajaan yang sudah tentunya mempertahankan kedaulatan negara. Namun, yang menjadi perhatian kita adalah tindakan COMANGO yang telah pergi ke Geneva dengan tuntutannya secara jelas mendedahkan agenda mengganggu-gugat kedudukan Islam di Malaysia.”

PEMBINA melihat bahawa tuntutan ini cukup merbahaya kerana ia berkaitan dengan masa depan Islam dan akidah ummat Islam di Malaysia. COMANGO antara lainnya menuntut hak kebebasan untuk murtad sebagai hak kebebasan beragama, menghapuskan undang-undang jenayah Syariah, mengiktiraf hak mengamalkan seks songsang LGBT dan mempertikaikan keputusan mengharamkan penyebaran fahaman Syiah dan lain-lain ajaran menyeleweng sebagai kekangan kepada hak kebebasan beragama. Kita tidak mahu atas dasar hak asasi manusia, Malaysia dipaksa menjadi sebuah negara yang bebas dan yang jauh daripada syariat Islam.

PEMBINA melihat bahawa tuntutan COMANGO ini merupakan sebuah pertembungan yang berlaku di antara hak Islam dan hak barat. Racun pemikiran liberalism yang bertunjangkan kepada hak asasi manusia yang mutlak atas acuan barat sudah semestinya akan bertembung dengan Syariat Islam yang berasakan Al-Quran dan Sunnah, yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Kita akan melihat pertembungan ini dan sepatutnya kita menggalas tanggungjawab memperjuangkan Syariat Islam sehingga menang. Hari ini sudah jelas 54 NGO yang bernaung di bawah COMANGO merupakan NGO anti-Islam yang seharusnya tidak dijadikan sekutu atau ‘teman’ oleh ummat Islam. Walaupun terdapat beberapa pimpinan PKR yang terlibat dengan COMANGO, YB Nurul Izzah sepatutnya bertegas dan menjelaskan ancaman dan bahaya COMANGO khusus kepada ummat Islam. “Tidak sepatutnya kepentingan Islam digadai demi kepentingan parti. Kita memuji Pemuda PAS yang walaupun agak terlewat dalam menyatakan pendirian tetapi tegas menolak COMANGO” ujar Ibrahim.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top