KUALA LUMPUR 26 Okt. – Kerajaan digesa agar bersikap tegas dan tidak tunduk kepada apa juga tekanan mahupun desakan pihak antarabangsa agar mengiktiraf hak kebebasan agama dan amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Presiden Pertubuhan Kebajikan Gabungan Melayu Islam Malaysia, Razak Dahaman berkata, ini kerana tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang dijadikan asas oleh beberapa negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mendesak Malaysia berhubung perkara itu adalah sesuatu yang melampaui batas.
“Sudah pasti tuntutan ini akan ditentang keras terutama oleh umat Islam di negara ini. Tuntutan Comango itu sehingga ke peringkat antarabangsa benar-benar mencabar umat Islam. Ini kita tidak boleh benarkan berlaku,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan beberapa negara yang memberi tekanan kepada Malaysia agar menandatangani Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak-Hak Awam dan Politik (ICCPR) berkaitan hak kebebasan beragama yang perlu dibaca dengan Artikel 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UHDR) iaitu mentakrifkan seseorang individu bebas meninggalkan agamanya.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimPro) ke Geneva, Switzerland, Azril Mohd. Amin selepas memantau sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) ke atas Malaysia oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva semalam.
Razak berkata, Malaysia tidak perlu melayan desakan tersebut dan tegas dengan pendirian bahawa negara ini meletakkan Islam sebagai kedudukan tertinggi dan agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda (Ilmu), Ahmad Fazrin Yahaya berkata, tuntutan melampau Comango yang menyentuh sensitiviti umat Islam menjadi satu tamparan hebat kepada Malaysia sebagai sebuah negara Islam apabila wujud kumpulan berani mengemukakan tuntutan sedemikian hingga ke peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu memberi tekanan kepada puak pelampau yang berselindung di sebalik nama NGO kononnya memperjuangkan hak asasi manusia sedangkan matlamat mereka hanya mahu menimbulkan kekacauan dalam negara.
Katanya, tindakan yang amat sinonim dengan sikap pembangkang itu sentiasa mencari jalan dengan menimbulkan isu berkaitan agama supaya Malaysia dipandang negatif kerana tidak menyanjungi hak asasi manusia.
“Tuntutan Comango ini menjadi satu tamparan hebat, bagaimana mereka boleh membuat tuntutan sebegitu sedangkan berada dalam sebuah negara Islam.
“Mereka ini sengaja mahu menimbulkan huru-hara, cuba mengambil kesempatan dengan memainkan isu agama walaupun jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Ibrahim Mohd. Hassan berkata, tuntutan Comango itu cukup berbahaya kerana membabitkan masa depan Islam dan akidah umat Islam di Malaysia.
Katanya, tuntutan tersebut jelas sekali merupakan pertembungan antara hak Islam dengan Barat, sekali gus membiakkan pemikiran liberalisme yang bertunjangkan hak asasi manusia secara mutlak mengikut acuan Barat.
”Kita perlu melihat kepada pertembungan ini dan sepatutnya menggalas tanggungjawab memperjuangkan syariat Islam sehingga menang.
”Kita tidak mahu atas dasar hak asasi manusia, Malaysia dipaksa menjadi sebuah negara yang bebas dan yang jauh daripada syariat Islam,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.
© Utusan Melayu (M) Bhd