Feminis dan LGBT Berpisah Tiada

Laungan “Hidup LGBT” selepas laungan “Hidup Wanita” semasa himpunan di Dataran Merdeka yang dihadiri SIS, WAO, pelajar dan aktivis feminis semalam menjadi bukti yang jelas bahawa pendokong fahaman Feminisme turut memperjuangkan cara hidup LGBT.

Tidak berguna lagi berselindung di sebalik nama memperjuangkan hak wanita dan kesamarataan gender yang dilihat baik dan bagus. Hakikatnya semua itu hanyalah topeng menutup agenda dan fahaman keji yang terkandung dalam perjuangan Feminis.

Bagaimana feminisme boleh mendokong kesesatan LGBT?

Bermula pada 1970 gerakan feminisme mengembangkan konsep kesetaraan gender. Menurut mereka, gender berbeza dengan kelamin.

Kelamin atau sex bermaksud merujuk kepada anatomi
dan biologi. Manakala gender dipengaruhi oleh sosial, budaya agama dan hukum.

Disebabkan itu bagi mereka kesetaraan gender adalah bagi semua termasuk golongan LGBT.

Dr Musdah, seorang pejuang feminis di Indonesia, pernah dianugerahkan Women Of The Year 2009 di Itali kerana memperjuangkan Gay dan Lesbian.

Irsyad Manji pejuang feminis yang merupakan seorang Islam namun mengamalkan cara hidup sebagai Lesbian. Selain daripada membela golongan gay dan lesbian, Irshad turut dikenali ramai kerana menyokong perkahwinan antara individu Muslim dengan individu berlainan agama tanpa perlu menukar agama masing-masing.

Feminis Di Malaysia Menyokong LGBT?

Feminis di Malaysia sendiri sangat konsisten dalam memperjuangkan LGBT. Perhimpunan semalam bukanlah pertama kali dalam melaungkan kebebasan menjadi LGBT malah telah berlambak program seperti itu dilaksana di Malaysia di bawah NGO-NGO feminis dan hak asasi manusia. Antaranya program tahunan seperti Seksualti Merdeka dan Pink Dot.

Amat merisaukan dengan sebahagian NGO yang nampak agak naif dalam menangani isu wanita sehingga boleh duduk bersama dan berjuang bersama NGO feminis. Malah membuka ruang diskusi bersama mereka sedangkan tidak akan pernah selari antara Islam dengan fahaman songsang feminisme.

NGO Feminis di Malaysia secara konsisten memperjuangkan fahaman feminisme yang bertentangan dengan Islam. Bukan sahaja menyokong cara hidup LGBT, malah menolak fatwa, menyokong kebebasan beragama, membantah undang-undang Islam, menyokong pluralisme agama, mempertikai mufti dan institusi agama.

PEMBINA sentisa tegas menyatakan usah menggunakan istilah feminisme dalam memperjuangkan hak wanita, kerana Islam sendiri telah meletakkan golongan wanita ke tempat dan kedudukan yang mulia.

Bermula penubuhan PEMBINA pada 2006, hal ehwal wanita khususnya mahasiswi menjadi salah satu antara agenda utama kami. Antara usaha PEMBINA dalam membangun golongan mahasiswi melalui penganjuran program-program seperti Usrah Rabithah, Festival Beliawanis Nasional, Akademi Tokoh Beliawanis dan kempen-kempen kesedaran seperti kempen ‘Say No To Valentine’ dan sebagainya.

Sehingga kini PEMBINA sentiasa aktif menjalankan aktiviti bersama mahasiswi di IPT seluruh Malaysia bagi membangunkan potensi mahasiswi berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

Fahaman Feminisme perlu difatwakan haram sebagaimana fahaman Liberal telah diharamkan di beberapa negeri antaranya Selangor kerana fahaman songsang ini akan menggugat keharmonian masyarakat dan berlanggar dengan ajaran Islam yang sebenar.

Sharifah Abdul Samad
Ketua Beliawanis PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top