“Tiada jalan pintas untuk menjadi seorang ilmuan yang menjadi pakar dan dirujuk oleh masyarakat dalam sesuatu bidang. Untuk menjadi umat yang dihormati, umat Islam tidak boleh hanya menjadi wira dalam menyelesaikan masalah sosial, ekonomi dan politik, malah perlu turut menjadi qudwah dalam bidang penyelidikan dan penciptaan. Begitulah perkongsian dari Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim, Ketua Beliawanis PEBINA Pahang yang memenangi pingat gangsa dalam pertandingan poster di International Research, Invention and Innovation Exhibition (IRIIE 2014) dengan tema Socio-Digital Transformation for The Ummah yang telah berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak pada 11-12 Jun 2014. Beliau yang membentangkan poster hasil penyelidikannya di peringkat sarjana yang mengkhusus dalam bidang fisiologi sistem reproduksi manusia.
Tatkala manusia hari ini begitu gigih mencari jalan pintas untuk semua perkara, namun satu realiti, tiada jalan pintas untuk menjadi seorang yang pakar dalam sesuatu bidang ilmu dan kemahiran. Kita boleh menyertai pelbagai bengkel dan seminar untuk mempelajari tip-tip menjadi jutawan ekspres, kita boleh menelan pelbagai jenis pil dan herba untuk kurus dan ramping dengan cepat, kita boleh membeli pelbagai alat dapur moden untuk memasak dengan pantas. Namun hakikatnya, untuk melahirkan seorang Ilmuan, setiap manusia perlu melalui jalan menuntut ilmu ini dengan ketekunan dan kesabaran.
Ya, memang semua ilmu pengetahuan hari ini ada di hujung jari dan boleh dicapai dengan mudah. Namun, tidak cukup dengan mempelajari ilmu yang sedia ada, satu peringkat ilmu yang lebih tinggi adalah meneroka bidang baru, mencipta rekaan baru dan memikirkan idea-idea baru yang bakal menyediakan solusi kepada permasalahan ummah. Disitulah perlunya kajian demi kajian, penyelidikan demi penyelidikan, ekperimen demi eksperimen sebelum sesuatu idea diterima dan boleh diaplikasikan untuk manfaat bersama.
Ujar beliau lagi, “Tidak ramai yang berminat dengan research kerana sering melihat bidang ini sebagai suatu yang sukar, mengambil masa yang lama dan rumit. Saya sendiri pada mulanya sangat takut untuk menyambung pengajian di peringkat master kerana perlu buat research.” Namun hakikatnya, golongan belia Muslim harus mengorak langkah berani untuk belajar dan menceburi bidang penyelidikan untuk kemajuan ummah. Beliau turut menyeru golongan muda juga perlu rajin membaca dan mengkaji sesuatu isu dan tidak hanya bergantung kepada ‘pakar-pakar Google dan Facebook’ dalam memahami sesuatu isu dan mendalami sesuatu ilmu.
Disedikan oleh;
Wartawan PEMBINA.