PEMBINA Ucap Tahniah Kepada Juara Litar

Kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya. Begitulah kata pepatah yang melambangkan usaha keras pasti membuahkan hasil dalam kehidupan. Jika kita lihat pada hari ini, mereka yang berusaha dengan betul maka sunnatullah membuktikan mereka akan menjadi juara dalam bidang yang mereka ceburi.

PEMBINA mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada saudara Hafizh Syahrin bin Abdullah, 17 tahun, yang telah berjaya mendapat tempat pertama dalam pusingan ke-lima Kejohanan Campeonato Espagñol de Velocidad (CEV) di Sepanyol yang berlansung semalam, 23 September 2013. Persembahan yang ditunjukkan oleh saudara Hafizh dalam siri-siri perlumbaan dalam kejohanan tersebut menunjukkan betapa kerja keras dan keinginan yang kuat pasti membuahkan hasil yang diharapkan. Dalam perlumbaan pusingan sebelumnya, beliau telah menduduki tempat ke-3 dan ke-2 bagi  pusingan ke-tiga dan ke-empat berturut-turut. Beliau juga, telah menjadi pelumba kelahiran Malaysia yang pertama menjuarai Kejohanan AMA Pro Vance & Hines Harley-Davidson di Indianapolis pada bulan Ogos yang lepas,

Para belia wajar mengambil semangat berusaha keras dan bersungguh-sungguh yang ditonjolkan oleh Saudara  Hafizh sehingga mampu membuktikan bahawa seorang Muslim kelahiran Malaysia boleh  mengalahkan peserta daripada negara lain. Kehebatan ini  pastinya disertai dengan  rasa kesyukuran dan kebergantungan (tawakkal) kepada Allah yang membolehkan seorang Muslim  menjadi yang terhebat. Berita semalam melaporkan bahawa Hafizh  melaksanakan sujud syukur sebaik sahaja melepasi garisan penamat. Ini adalah sebahagian daripada  contoh bagaimana Islam sebagai cara hidup dan boleh dipraktikkan di mana jua  umat Islam berada, dalam bidang apapun bidang yang diceburi.

Seorang lagi belia juara litar yang wajar kita contohi, Saudara Zulfahmi Khairuddin yang telah dua kali menaiki podium pada tahun lepas dalam kejohanan antarabangsa di Sepang dan Valencia. Sewaktu menerima pingat bagi kedua-dua kejohanan, beliau telah berusaha melarikan diri daripada disembur dengan arak ketika meraikan kemenangan perlumbaan. Pastinya dengan sifat bangga dengan Islam dalam diri, dengan keimanan kepada Allah SWT, maka beliau menghindarkan diri daripada terlibat dengan arak. Itulah bukti umat Islam mengambil Islam sebagai cara hidup dan dipraktikkan dalam semua aspek kehidupan.

PEMBINA  sekali lagi mengucapkan ribuan tahniah diucapkan kepada Saudara Hafizh Syahrin dan Saudara  Zulfahmi Khairuddin atas pencapaian mereka dalam bidang perlumbaan motosikal.  Untuk saudara Hafizh, berbekalkan dua lagi siri pelumbaan dalam Kejohanan CEV, Sepanyol, PEMBINA mendoakan agar  Saudara Hafizh terus berjuang dengan sifat seorang pejuang Muslim yang sejati  untuk menamatkan siri perlumbaan yang akan datang. Semoga Allah  mengganjari usaha beliau dengan kejayaan dalam perlumbaan-perlumbaan selepas ini, sekaligus, menjadi juara keseluruhan  dalam Kejohanan CEV ini kelak. Dan semoga beliau terus menggapai kejayaan yang bermakna buat diri beserta keluarga, agama, bangsa dan negara.

Tahniah Hafizh dan Zulfahmi!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top