Belia Tolak Mayat Chin Peng dibawa ke Malaysia

BANGI, 19 Sept – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mempertikaikan usaha beberapa pihak yang berusaha untuk membawa mayat bekas pimpinan Parti komunis Malaya, Chin Peng ke Malaysia.

Presiden PEMBINA, Ibrahim bin Mohd Hasan berkata, usaha tersebut dilihat sebagai sia-sia dan tidak masuk akal melainkan wujudnya agenda tertentu. “Kita mempersoalkan kenapa beberapa pihak termasuk Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independan (KAMI) bersungguh-sungguh ingin membawa masuk (Chin Peng) ke Malaysia? Apa motifnya? Adakah kita mahu mengagungkan seseorang yang berfahaman komunis sehingga diberikan layan istimewa?” ujar Ibrahim Hasan. Katanya, apa yang dirisaukan ialah usaha beberapa pihak cuba mewujudkan persepsi bahawa Chin Peng adalah seorang pejuang yang berjasa kepada negara sedangkan dia merupakan seorang yang kuat menyebarkan ideologi fahaman komunis yang secara jelas bertentangan dengan Islam.

Tambah beliau lagi, mana mungkin seorang yang berfahaman komunis akan memperjuangkan kemerdekaan sebuah negara melainkan fahaman tersebut sendiri ingin menjajah dan menyebarkan fahaman mereka. “Tidak perlulah kita mengangkat dia sebagai pejuang sedangkan dia menentang penjajah untuk mewujudkan penjajahan yang baru, bukan untuk memerdekakan Negara”. “Alangkah naifnya kita jika menyanjung dan mempertahankan seorang yang berfahaman komunis sedangkan dalam diri kita ada Islam yang mulia dan lebih tinggi daripada apa jua fahaman. Ke mana izzahnya (mulianya) Islam dalam diri kita?” Ketika ditanya mengenai usaha KAMI untuk menguruskan jenazah Chin Peng jika di bawa ke Malaysia, saudara Ibrahim berkata mereka dipersilakan untuk ke Thailand jika ingin berbuat demikian. “Nak menjulang atau memuja seorang yang berfahaman komunis, silakan berbuat demikian di sana (Thailand).

Jangan cuba nak pengaruh belia untuk berfikiran kolot seperti anda. Sudahlah Negara kita dicemari dengan pelbagai fahaman ideologi sesat seperti liberalism dan sosialisma, sekarang ingin mempopularkan fahaman komunisma pula.” ujar beliau lagi. Chin Peng atau nama sebenar Ong Boon Hua meninggal dunia di Bangkok pada jam 6.20 pagi pada 16 Septmeber lalu pada usia 90 tahun.

1 thought on “Belia Tolak Mayat Chin Peng dibawa ke Malaysia”

  1. Tidak perlulah membazir masa menyokong sebarang pemahaman komunisme, sebaliknya lebih baik menggunakan masa untuk membangunkan semula keadaan masyarakat Islam kian meruncing di Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top