Pernah tidak anda mendengar yang solat itu dapat mencegah daripada sifat-sifat keji dan mungkar? Tentu pernah bukan. Ia merupakan intipati kepada firman Allah Subahanahu Wa Ta’ala yang bermaksud:
“Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Ankabut: 45).
Tapi, hakikatnya, ia tidak berlaku seperti apa yang termaktub pada firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala tersebut. Kenapa ia berlaku?, saya pun tidak tahu jawapan yang sebenar. Boleh jadi ia melibatkan banyak faktor samada dari sudut luaran dan dalaman orang yang bersolat tersebut.
Cuma, melalui pemerhatian dan ‘kajian’ yang saya lakukan, saya menjumpai satu faktor yang menyebabkan berlakunya masalah ini.
Antara puncanya adalah kebanyakan orang yang bersolat tidak sedar dengan apa yang dilakukan ketika solat.
Apa yang dimaksudkan dengan tidak sedar? Mereka tidak faham dengan butir-butir kalimah yang dituturkan dan membawa kepada lalai dan tidak khusyuk dalam solat.
Jadi, tidak mustahil setiap solat yang dilakukan tidak dapat mengubah seseorang itu menjadi lebih baik, dan tidak dapat mengubah orang yang bersifat mazmumah kepada orang yang bersifat mahmudah.
Solat yang didirikan dan setiap pergerakan yang dilakukan boleh dianggap sia-sia jika orang yang bersolat itu tidak mencapai khusyuk semasa bersolat dan dianggap lalai dalam mengerjakan solat tersebut.
Awas! Jika solat kita adalah solat yang lalai, maka hukumannya sangat pedih iaitu NERAKA WAIL!.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“..Neraka Wail (celakalah) bagi orang yang bersolat.
Iaitu orang yang lalai di dalam solatnya..’
[Surah Al-Ma’un, 107: 4-5].
Adapun syarah tafsir mengenai ayat ini panjang dan ulama’ banyak mencirikan situasi bagi orang yang lalai ini, tapi ia jelas menunjukkan bahawa kecelakaan bagi orang yang lalai dalam solatnya. Na’udzubillahi min dzalik. Moga Allah SWT melindungi kita daripada perkara tersebut.
Solat Merupakan Doa.
Di dalam solat, sekiranya dapat kita hayati setiap bait-bait kalimah yang dilafaz ketika solat, ia merupakan himpunan puji-pujian dan doa-doa.
Ya, ia merupakan himpunan puji-pujian kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan doa-doa kebaikan untuk kita pohon kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Antaranya ialah bacaan Surah Al-Fatihah, bacaan ketika rukuk, bacaan ketika duduk antara 2 sujud, bacaan ketika sujud dan sebagainya. Jadi perlulah kita memahami setiap bait kalimah yang dituturkan supaya kita lebih menghayati dan merasai yang kita sedang berhubung dengan Tuhan Sekalian Alam.
Antara doa yang paling tinggi nilainya pada hemat saya ialah bacaan ketika duduk antara 2 sujud. Pada saat itu, kita sebenarnya sedang memohon keampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kemudian ditambah pula dengan permohonan supaya diberikan rahmat-Nya, dicukupkan keperluan bagi kita untuk menghadapi kehidupan di dunia, diangkat darjat kita di sisi-Nya, diberikan rezeki, ditunjukkan jalan yang lurus, diberikan kesihatan yang baik dan diampunkan dosa-dosa.
Nah, hebat bukan doa disaat duduk antara 2 sujud. Doa yang membawa kebaikan di dunia dan di akhirat!
Maka, bersolatlah dengan sedar, kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala hanya menerima solat orang sedar dan memakbulkan doa orang yang berdoa dalam keadaan sedar.
Oleh itu, memahami setiap bacaan di dalam solat ini tersangatlah perlu supaya ia dapat menambahkan kekhusyukan, menolak daripada lalai di dalam solat, dan yang paling baik ialah mendapat kemanisan di dalam solat.
Jelas sudah tentang kepentingan memahami maksud bacaan dalam solat.
Jadi, jangan berlengah, jangan bertangguh, berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk memahami bacaan dalam solat kalian.
Pergilah ke kedai buku atau toko-toko buku agama yang berdekatan, carilah buku yang mengajar tentang solat, insyaAllah di dalam buku tersebut ada maksud bacaan dalam solat. Ataupun, bagi yang tidak berkemampuan/berkelapangan untuk ke kedai buku, cari sahaja di dalam internet, insyaAllah anda akan jumpa banyak artikel-artikel yang membincangkan tentang maksud kalimah-kalimah dalam solat ini.
Moga artikel ini memberi manfaat kepada kalian dan panjangkanlah manfaatnya kepada orang lain. Moga kalian tergolong dikalangan orang-orang yang membuat kebaikan.
Dari Muawiyah katanya yang bermaksud;
:يَقُولُ وَسَلَّمَ، عَلَيْهِ للَّهُا صَلَّى النَّبِيَّ سَمِعْتُ
( الدِّينِ فِي يُفَقِّهْهُ خَيْرًا بِهِ اللهُ يُرِدِ مَنْ )
[عليه متفق]
“Barang siapa yang diingini Allah dengannya kebaikan, diberikan kefahaman agama.”
[Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]
Sumber: PEMBINA Melaka