Filem Hantu Bonceng telah menjadi isu yang hangat diperkatakan kebelakangan ini berikutan salah satu dialognya dikatakan menghina agama Islam apabila pengucapan kalimah syahadah yang tidak lengkap ditambah dengan perkataan syaitan.
Namun demikian, pihak JAKIM dan FINAS telah mengesahkan bahawa dialog tersebut tidak mempersendakan agama Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. Pelakon yang terbabit, Zizan turut meminta maaf atas isu ini dan beliau tidak berniat untuk menghina dan mempersendakan agama Islam dan Nabi Muhammad s.a.w.
Saya melihat pengajaran yang boleh diambil oleh semua pihak dalam isu ini adalah untuk lebih berhati-hati dan tidak menyalahgunakan elemen-elemen agama Islam dalam filem-filem yang diterbitkan. Walaupun pengunaan elemen-elemen ini adalah untuk tujuan hiburan semata-mata,penerbit-penerbit filem tempatan tidak perlu meniru ape yang berlaku di barat. Agama-agama mereka digunakan dan dipersendakan di dalam filem-filem mereka secara meluas.
Apa yang lebih penting daripada isu di atas adalah filem-filem tempatan lebih berorientasikan hiburan semata-mata tanpa menitik beratkan faktor-faktor ilmiah dan pembangunan jati diri orang yang menontonnya yang majoritinya adalah muda mudi Melayu Islam. Sesuatu filem itu mungkin meraih kutipan berjuta-juta ringgit tetapi berapakah nilainya jika kita menggunakan neraca ilmiah dan pandangan Islam. Kita tidak nampak hasil-hasil positif yang terbit daripada penonton-penonton selain daripada kepuasan mata dan telinga disamping menghabiskan masa-masa yang tidak ternilai itu dengan begitu sahaja.
Akhirnya, saya menyeru pengarah-pengarah dan penerbit-penerbit filem tempatan mula menitik beratkan nilai-nilai tambah dalam filem-filem mereka supaya dapat menyumbang kepada pembangunan modal insan muda mudi kita terutamanya yang berbangsa Islam.
Tengku Asyraf Tg Mohmed Noor Izam
JKP PEMBINA (Informasi)