Pernah suatu hari, saya dan kawan-kawan disoal oleh pensyarah tentang maklumat beberapa orang tokoh ilmuan islam terdahulu. Terkumat kamit kami untuk menjawabnya. Siapakah beliau, apakah sumbangan beliau, di manakah beliau lahir… semua itu tidak pernah tersimpan kemas dalam kotak memori. Masing-masing terpaku malu sendiri mengenangkan kelalaian untuk menjadikan maklumat tentang tokoh-tokoh ilmuan islam dan sahabat-shabat Rasulullah s.a.w sebagai salah satu carta yang patut dihadam dalam ingatan.
Antara Belia Dahulu dan Masa Kini
Semakin hari, semakin kita digembar gemburkan dengan kehebatan belia masa kini yang semakin kreatif dan inovatif dalam mencipta pelbagai teknologi baru yang menakjubkan mata masyarakat. Perkembangan yang semakin pesat menjadikan remaja-remaja dan belia sekarang sangat mudah menerima idea-idea segar untuk diaplikasikan dalam kehidupan mereka seharian. Kemudahan akses internet di hujung jari juga menjadikan mereka semakin mudah mendapat maklumat tentang dunia luar. Namun, dengan kemudahan ini jugalah, pelbagai laman sesawang mampu diteroka tanpa batasan syariat sehingga menjadikan mereka lemas dengan nikmat dunia yang dicipta sendiri. Inilah punca kepada permasalahan yang berlaku di dalam diri anak-anak muda terutamanya orang melayu itu sendiri pada masa kini.
Nah! Kita dapat lihat di sini. Semakin maju kehidupan masyarakat, semakin mereka terdedah dengan perkara-perkara yang melalaikan. Maka, semakin gelaplah pintu hati mereka untuk menerima ilmu-ilmu yang baik. Disebabkan itulah minda anak-anak muda pada zaman sekarang lebih cenderung untuk mengingati lirik-lirik lagu, gosip-gosip artis dan sebagainya sehingga mereka lupa untuk menjadi zikrullah dan kalimah yang baik sebagai pembasah lidah setiap hari. Hati yang patut terisi dengan cahaya telah digantikan dengan gelita. Menjadikan mereka semakin hari, semakin jauh dari landasan hidup yang sebenarnya, semakin jauh dari keberkatan ilmu itu sendiri. Seperti pepatah arab yang mengatakan “Ilmu itu cahaya, dan jahil itu memberi kegelapan kepada manusia”.
Selain itu, penyumbang kepada rosaknya belia akhir zaman ini ialah disebabkan oleh lambakan hiburan umpama barang-barang timbunan yang dijual di pasar malam. Di Malaysia sendiri, pelbagai rancangan seperti Anugerah Juara Lagu, Mentor, Akademi Fantasia yang saban tahun mendapat sponsor-sponsor yang hebat. Lagi menakjubkan, bagi mengelakkan kekurangan generasi pelapis, kanak-kanak telah diajar untuk menari, menyanyi, berlakon dan pelbagai lagi aksi yang amat menyedihkan kita sebagai umat islam. Bukan sahaja adat budaya melayu ditinggalkan, bahkan syariat islam itu sendiri tidak lagi menjadi panduan kehidupan.
Namun, cuba kita renungkan sejenak, kita soroti kembali zaman kegemilangan tokoh-tokoh ilmuan islam seperti Al-Biruni, Al- Kindi, Ibn Sina dan lain-lain. Bagaimana mereka menguasai ilmu pengetahuan dengan begitu mantap. Penerokaan mereka terhadap ilmu-ilmu baru melalui pengkajian AlQuran dan AlHadis menjadikan pelbagai cabang ilmu telah wujud di bumi ini. Ini kerana, konsep penjagaan hati yang bersih dan pemakanan yang sihat sangat ditekankan lantas menjadikan diri mereka sangat senang untuk menerima ilmu-ilmu pengetahuan. Seterusnya menyelusuri perjalanan, melihat zaman ulama’ terkemuka seperti Imam Hassan Al Banna, Sheikh Idris Al Marbawi, dan ramai lagi ilmuan islam yang begitu berbeza zaman mudanya dengan belia pada masa kini. Walaupun pelbagai jasa telah disumbangkan, mereka masih berasa takut untuk berehat tatkala penat berjihad. Ini disebabkan oleh kefahaman terhadap islam secara jelas, keimanan yang teguh serta cara hidup mereka yang begitu berbeza dengan umat Islam sekarang.
Membina Generasi Belia Harapan
Yang menjadi persoalan sekarang, siapakah yang bertanggungjawab untuk memulihkan masalah ummat akhir zaman ini. Antara belia yang sibuk menghadap komputer, ibu yang bekerja, ayah yang menyerahkan tugas mendidik anak sepenuhnya kepada ibu dan orang gaji atau guru yang tidak amanah dalam menjalankan tanggungjawab. Ini adalah satu persoalan yang perlu direfleksi kembali semua pihak. Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w “Setiap dari kamu ialah pemimpin, dan setiap pemimpin akan bertanggungjawab ke atas apa yang dipimpin”
Melihat kepada solusi yang paling utama ialah peranan yang patut dimainkan oleh ibu bapa itu sendiri. Sejak dari kecil lagi, seharusnya bagi ibu bapa untuk mewujudkan bi’ah yang menenangkan di rumah agar anak-anak tiada alasan untuk menjadikan dunia luar sebagai syurga dunia mereka. Selain itu, sikap belia itu sendiri sangat penting dalam usaha memilih teman seperjuangan yang soleh dan musleh supaya tatkala berada di dalam kemurkaan Allah, masih ada manusia yang akan menariknya kembali berjalan di atas jalan yang lurus. Pengurusan masa juga perlu ditekankan oleh belia terutama mahasiswa dalam menentukan hala tuju mereka agar seimbang dari aspek duniawi dan ukhrawi. Selain itu, 10 ciri-ciri muslim juga patut cuba diaplikasikan dalam kehidupan kita seharian. Tidak dapat tidak, sebagai seorang belia muslim kita harus menjadi yang berbeza daripada manusia biasa. Biarlah kita dikenali sebagai manusia yang asing, jika itu yang mendapat redha Allah. Lantaran itu, tudinglah tanggungjawab membaiki masyarakat ke arah muka sendiri agar di muka pengadilan Allah nanti, tiada jari yang akan menuding ke arah kita untuk menuntut hak mereka.
Siti Radhiah Rasyada
AJK PEMBINA KL