Sikap Mahasiswa Menentukan Kemajuan IPT Tempatan – Tengku Asyraf

SHAH ALAM 10 Jun 2011 – Dalam satu temuramah bersama Media PEMBINA, Tengku Asyraf bin Tengku Mohmed Noor Izam, Ketua JK Informasi PEMBINA, menegaskan bahawa sikap mahasiswa akan menentukan kejayaan dan kemajuan IPT-IPT tempatan di persada dunia.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perbandingan antara IPT tempatan dan luar negara serta faktor tiada IPT di Malaysia termasuk dalam senarai “Times Higher Education Top 200 World University Ranking” 2010.

Tengku Asyraf berkata bahawa kualiti pembelajaran IPT di Malaysia sudah berjaya melahirkan graduan-graduan berkemahiran tinggi serta tokoh-tokoh yang mewarnai kepimpinan negara.

Beliau tidak menafikan wujudnya perbezaan antara belajar di IPT dalam dan luar negara seperti suasana pembelajaran dan sesetengah pensyarah yang bertaraf dunia.

Namun pada pandangan beliau, perbezaan-perbezaan ini tidak sepatutnya menjadi penghalang signifikan untuk IPT lebih berdaya saing kerana silibus-silibus dan bahan rujukan yang digunakan adalah sama ataupun hampir sama.

Beliau berpendapat, faktor utama yang menyebabkan kegagalan dan kemerosotan prestasi IPT lebih disebabkan sikap-sikap mahasiswa seperti malas belajar, hiburan yang berlebihan, meniru dalam kerja-kerja universiti dan tidak serius dalam pelajaran.

Beliau lantas menyeru para mahasiswa menyuburkan budaya ilmu, budaya mengkaji dan menyelidik, membaca, rajin, serta sikap-sikap proaktif lain yang mampu melonjakkan kualiti hasil graduan IPT.

Beliau berharap mahasiswa semasa dapat membuktikan bahawa IPT di Malaysia mampu duduk sebaris dengan IPT luar negara dari sudut kualiti pendidikan dan graduan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top