PEMBINA berusaha membentuk jati diri mahasiswa – Roszida

Media PEMBINA berkesempatan menemuramah Jawatankuasa Sekretariat Beliawanis, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Roszida Kamarudin dalam satu seisi ringkas bagi mendapatkan respon terkini berkaitan peranan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Kesuraman dan kelayuan mahasiswa dalam membentuk masyarakat yang lebih progresif dan berdaya saing apabila bergelar graduan nanti cukup merisaukan.

Dengan itu, PEMBINA merasakan adalah menjadi tanggungjawab bagi semua lapisan mahasiswa untuk bersama-sama bersatu tenaga membuat anjakan paradigma dalam usaha mengangkat nusa dan bangsa.

Ikuti wawancara khas bersama beliau.
W : Wartawan
RK : Roszida Kamarudin

W: Apakah komen saudari tentang keseimbangan pembangunan dan pendidikan mahasiswa di IPT pada hari ini ?

RK: Mahasiswa merupakan aset negara yang sangat berharga. Maka pembangunan dan pendidikan mahasiswa harus diambil berat kerana mereka merupakan bakal memimpin negara pada masa akan datang. Saya merasakan keseimbangan belum dapat dicapai sepenuhnya.

Ini kerana ada pelajar yang lebih mementingkan aspek pendidikan berbanding pembangunan iaitu fokus untuk mengejar gred semata. pada masa yang ada juga yang mengabaikannya kerana suka berseronok dan berhibur.

Tambahan lagi tidak ramai pelajar yang gemar melibatkan diri dalam persatuan, kelab dan aktiviti-aktivti yang membina skil dan kemahiran yang disediakan di universiti masing-masing.

Apa yang dimaksudkan dengan pembangunan mahasiswa adalah pembinaan jati diri dan syakhsiah yang tinggi dalam diri mereka untuk melahirkan seorang yang serba boleh, berkeyakinan tinggi dan mampu memimpin masyarakat

W:  Apakah sudut khusus atau tertentu yang perlu diseimbangkan dan diutamakan ?

RK: Akademik, akhlak dan syakhsiah, kemahiran dalam kepimpinan, hubungan sosial, dan peka kepada isu semasa. mahasiswa boleh mengikuti saranan As-Syahid Imam Hassan al-Banna dalam 10 ciri-ciri seorang muslim yang untuk menjadi mahasiswa yang seimbang dari segala aspek.

Selain itu mahasiswa tidak seharusnya hanya berfikir untuk menggali ilmu dalam bidang yang dipelajari sahaja, namun perlu mendalami ilmu-ilmu dan kemahiran yang berada di luar bidang. Ini untuk melahirkan pelajar yang berfikiran kritis

W: Apakah peranan PEMBINA dalam melahirkan mahasiswa seimbang?

RK: PEMBINA menyeru mahasiswa untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar yang syumul dengan menggunakan pendekatan-pendekatan yang sesuai serta mudah diterima oleh mahasiswa masa kini.

PEMBINA berusaha membentuk jati diri mahasiswa agar dapat melahirkan pemuda-pemuda hebat yang bakal memimpin masyarakat dan negara dengan baik kelak

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top