..keceriaan..:-)
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat dan keupayaan yang dianugerahkan buat barisan beliawanis yang telah selesai menjayakan aktiviti riadah bersama adik-adik pelajar UUM pada petang jumaat , 7 ogos yang lalu. Program kedua beliawanis PEMBINA selepas program ‘pertemuan pertama ‘ itu telah bermula pada jam 5.30 petang bertempat di hadapan bangunan Kolej Perniagaan (COB) UUM. Mengikut perancangan awal yang telah disusun, aktiviti dijadualkan berlangsung di padang bola jaring, Komplek Sukan. Namun, akibat daripada keadaan cuaca yang tidak menentu, kami telah mengambil inisiatif untuk mencari tempat yang lebih sesuai dan selamat sebagai langkah berjaga-jaga.
‘We are The Champion’. Sesuai dengan nama program yang dijalankan kali ini, aktiviti yang dilakukan adalah berbentuk ala ‘explorace’ . sekitar jam 5.40 petang aktiviti dimulakan dengan kata-kata aluan daripada ukhty Maslinah sebagai pembuka kata sekaligus memberi taklimat serta arahan aktiviti yang akan dijalankan. Adik-adik peserta yang seramai 18 orang telah dibahagiakan kepada empat kumpulan. Mereka dikehendaki memilih seorang ketua serta menyediakan nama kumpulan yang akan digunakan sepanjang aktiviti berlangsung. Keceriaan dan kerjasama adalah objektif yang ingin dicapai daripada program tersebut disamping memupuk ukhwah yang erat antara peserta.
Peserta yang telah lengkap dengan ketua dan nama kumpulan yang dipilih sendiri antara ahli perlu melepasi empat halangan sebelum dinobatkan sebagai juara aktiviti pada petang itu. Halangan yang pertama, mereka perlu melengkapi silangkata yang mengandungi soalan-soalan yang agak mencabar minda berkenaan dengan perkembangan tamadun dan sejarah Islam. Masa yang diambil oleh peserta bagi menjawab silangkata tersebut adalah sekitar sepuluh minit bagi setiap kumpulan. Manakala di halangan yang kedua pula, peserta yang berjaya melepasi halangan sebelumnya telah diberi tugasan untuk menyusun surah-surah al-Quran . Keratan-keratan kertas yang ditulis dengan nama surah pelu disusun mengikut susunan yang betul di dalam Al-Quran. Beberapa kumpulan telah melepasi halangan ini dengan mudah sekali kerana ada diantara peserta telah menghafal semua surah mengikut susunan yang betul dengan baik sekali. Masa yang diberikan pada halangan yang kedua ini juga adalah kira-kira lima belas minit.
..tekun berusaha…
Di halangan yang ketiga pula, peserta telah mengukuhkan kerjasama antara ahli kerana mereka diberi tugasan membina bangunan tertinggi dengan menggunakan ‘straw’. Cabaran yang ketiga ini jelas menunjukkan kesepakatan dan komitmen yang tinggi pada setiap ahli kumpulan bagi menyiapkan tugasan tersebut. Kerjasama yang erat serta kreativiti yang ditunjukkan oleh peserta akhirnya kesemua kumpulan berjaya menyiapkan bangunan ‘straw’ dengan pelbagai bentuk dan rupa. Walaupun kesemua kumpulan berjaya menyiapkan tugasan, namun mereka tidak dapat pergi ke halangan seterusnya iaitu halangan terakhir aktiviti program kali ini kerana kesuntukan masa. Oleh itu aktiviti hanya dapat berhenti setakat ini sahaja.
Walaupun aktiviti terpaksa berhenti setakat itu sahaja, namun keceriaan dan keseronokan yang jelas terpamer daripada raut wajah adik-adik peserta membuktikan bahawa objektif program kali ini mencapai matlamatnya. Alhamdulillah. Aktiviti sebegini yang memerlukan banyak kerjasama dan komunikasi yang baik antara ahli telah mengeratkan lagi silaturahim secara tidak langsung kerana setiap kali mereka ingin melepasi setiap halangan aktiviti,mereka perlu menghafal nama serta latar belakang ahli kumpulan. Selain itu juga, kumpulan yang telah selesai menyiapkan tugasan di setiap halangan juga diarahkan menyanyikan beberapa rangkap lagu dari lagu tema kartun ‘wonderpet’ yang telah diubahsuai dan dimasukkan nama kumpulan mereka. Situasi dan tugasan ini telah mewujudkan keceriaan yang luar biasa diantara ahli kumpulan sekaligus mewujudkan keserasian.
Oleh kerana aktiviti tidak dapat dilakukan dengan sempurna, tiada kumpulan yang dapat diisytiharkan sebagai juara. Namun, matlamat serta objektif program dapat dicapai dengan jayanya. Diharap aktiviti kali ini sebagai satu titik permulaan kelangsungan aktiviti-aktiviti dan program yang akan datang. Tahniah buat barisan beliawanis PEMBINA atas usaha menjayakan program ini Semoga pertemuan yang singkat mampu mempertautkan lagi hati-hati yang ikhlas bertemu keranaNya. InsyaAllah. Ukhwah dipadu, fikrah disatu.
oleh: Setiausaha PEMBINA Kedah.