Seminar Keluarga Dapat Sambutan Meriah

MELAKA 14 Feb- Manusia diciptakan berpasang-pasangan sebagai bukti ketinggian dan kehebatan ciptaan-Nya. Malah ia juga antara ujian buat manusia yang secara nalurinya akan tertarik kepada jantina yang berlawanan. Salahkah untuk mencintai dan dicintai? Bercinta itu sebelum atau selepas perkahwinan? Apakah garis pandu Islam dalam aspek pergaulan antara lelaki dan wanita? Bagaimana proses perkahwinan yang ditetapkan Islam? Apakah ciri-ciri keluarga Islam yang sepatutnya?

Demikianlah lontaran-lontaran soalan yang dijawab dengan penuh terperinci dan mantap oleh Ustadz Anuar Saleh, YDP Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Daerah Hulu Langat dalam “Seminar Keluarga Muslim 2009″ anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Melaka. Seminar yang mengumpulkan hampir seratus pelajar lelaki dan wanita dari pelbagai IPT sekitar Melaka ini mengambil tempat pada 14 Februari 2009 bermula jam 9:00 pagi sehingga jam 1:30 tengahari. Ini merupakan seminar siri pertama yang dianjurkan PEMBINA Melaka bagi tahun 2009.

Penyertaan di luar dugaan ini membuktikan seminar yang dianjurkan hadir tepat pada masanya. Ketika belia-belia lain asyik dilambung kemaruk meraikan Valentine’s Day yang jelas melalaikan, PEMBINA menyediakan alternatif bagi mereka yang masih sensitif dan subur imannya untuk bersama-sama mendalami dan menghayati makna sebenar cinta dan keluarga dari perspektif Islam.

Majlis dimulakan dengan sarapan pagi yang begitu menyelerakan sebelum pengerusi majlis mengambil tempat memulakan acara dengan kata-kata aluan serta sedikit bacaan Al-Quran. Sebaik seminar dimulakan, semua peserta menumpukan perhatian sepenuhnya. Ternyata seminar yang berlangsung selama lebih kurang 3 jam ini dirasakan begitu singkat oleh para peserta lantaran penyampaian mantap dan kisah-kisah menarik serta lucu yang dikongsi oleh Ustadz Anuar. Sesi soal jawab berikutnya pula dipenuhi dengan pelbagai soalan yang membuktikan minat dan kefahaman mendalam para peserta dalam seminar kali ini.

Yang lebih menarik, seminar ini juga turut menyaksikan Majlis Pelancaran laman web rasmi PEMBINA Melaka. Laman web yang sebelum ini menggunakan wordpress ditukar kepada pembinamelaka.com dan dirasmikan oleh Presiden PEMBINA Melaka, Saudara Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad. Turut diadakan selepas itu ialah pengumuman aktiviti akan datang PEMBINA Melaka seperti PEMBINA Bersama Palestin, Kejohanan Bolasepak 7 Sebelah, Malam Bina Iman dan Taqwa (MABIT) Siri 2 serta Perkhemahan Belia Melaka 2009.

Tidak setakat itu, peserta kemudiannya terus disajikan dengan amali praktikal Bait Muslim. Jangan salah faham, bukan mereka yang di”kahwin”kan, tapi para peserta berkesempatan bertandang ke majlis walimah Saudara Hafez dan Dr. Hasmah, lepasan graduan  dari New Zealand yang melangsungkan perkahwinan mereka di atas jalan dakwah. Wakil PEMBINA Melaka, Saudara Sani sempat juga menyampaikan sedikit buah tangan dan ucapan tahniah dari PEMBINA Melaka.

 

Secara keseluruhannya, seminar kali ini berjaya mencapai objektifnya malah sambutan yang diterima adalah di luar jangkaan penganjur. Diharapkan lebih ramai peserta dapat bersama-sama dalam siri-siri seminar seterusnya yang akan dianjurkan oleh PEMBINA.

Majulah PEMBINA untuk agama!

 

Muhammad Luqman al-Hakim

PEMBINA Melaka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top