CYBERJAYA 18 Jun 2011- Hari Beliawanis Nasional 2011 yang berlangsung di Kelab Komuniti Cyberjaya anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah berjalan dengan jayanya.
Kehadiran 300 peserta dari seluruh negara termasuk Sabah Negeri Di Bawah Bayu amat memberansangkan serta menunjukkan semangat dan kesungguhan beliawanis untuk bersama-sama menjayakan program peringkat nasional yang julung kali diadakan.
Program bertujuan mengumpulkan beliawanis-beliawanis terutama ahli-ahli PEMBINA untuk mencungkil bakat dan mempamerkan potensi serta kebolehan beliawanis disamping menerapkan nilai-nilai jatidiri Muslimah yang produktif dan progresif.
Antara aktiviti yang berlangsung adalah aktiviti kesukanan seperti ping pong dan badminton, pertandingan indoor games seperti scrabble, catur, congkak, dan batu seremban, Â pertandingan pidato, persembahan nasyid, pertunjukan fesyen Muslimah, senamrobik, dan demonstrasi gubahan buah-buahan.
Bertemakan “Beliawanis Beragenda, Penggerak Kemajuan Ummah”, Hari Beliawanis Nasional 2011 telah berjaya menjadi pentas mempamerkan bakat sebenar golongan beliawanis yang mempunyai pelbagai potensi dan kualiti yang mampu digerakkan untuk berbakti demi kesejahteraan masyarakat dan negara.
Program yang berlangsung sepanjang hari itu telah dirasmikan oleh Pn Nor Hasni Hayati Hanapi, Naib Presiden II merangkap Ketua Beliawanis PEMBINA dan dihadiri wakil dari NGO belia lain.
Mimi Safuan
Wartawan
Media PEMBINA