Aktiviti Keusahawanan Membentuk Jatidiri Belia – Naib Presiden I

IPOH, 12 Jun 2011 – Naib Presiden I PEMBINA, Aizuddin Khalid, memberi galakan dan sokongan penuh terhadap sebarang aktiviti keusahawanan untuk diceburi oleh golongan belia. Menurut beliau, terdapat banyak elemen baik di dalam bidang keusahawanan yang mampu menzahirkan keperibadian belia yang sejati. Beliau membuat penegasan sedemikian dalam ucapannya dalam majlis pembukaan Seminar Pengurusan Kewangan dan Keusahawanan anjuran PEMBINA Perak.

 

Dalam ucapan tersebut, Aizuddin menghuraikan 3 elemen asas dalam keusahawanan yang turut mengandungi ciri-ciri yang ingin dipromosikan dan dipupuk oleh PEMBINA dalam usaha membentuk model belia yang ideal. Elemen tersebut adalah Penetapan minda, Pemasaran, dan Jaringan hubungan. Menurut Naib Presiden PEMBINA itu, seorang belia harus seorang yang bersemangat, berani, kental dan tahan lasak, berjiwa lapang, optimis dan berbaik sangka dengan takdir (Penetapan minda). Seorang belia juga perlu matang dalam pengurusan hidupnya serta kareernya, bijak menganalisa situasi,  tersusun dalam organisasi serta tanggungjawab yang dipegangnya (Pemasaran). Belia juga perlu melebarkan lingkungan kenalan dan kerjasamanya dalam usaha mencapai kejayaan bersama (Jaringan).

 

Ketua Penerangan PEMBINA itu menyimpulkan bahawa menceburi bisnes serta serius dalam pengurusan kewangan mampu memupuk kualiti-kualiti hebat yang memang merupakan ciri-ciri jatidiri belia sejati, yang akan mampu dilakukan dengan terbaik oleh belia kerana faktor semangat dan tenaganya yang berkobar-kobar.

 

SPKK PEMBINA Perak telah berlangsung di Institut Tadbiran Agama Islam Perak (INTIM) dan dihadiri lebih 150 orang peserta. Turut hadir merasmikan program tersebut adalah Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top