CYBERJAYA 18 Jun – Majlis perasmian Hari Beliawanis Nasional telah disempurnakan oleh Puan Nor Hasni Hayati binti Hanapi selaku Naib Presiden II dan Ketua Beliawanis PEMBINA dan disaksikan oleh para peserta serta para tetamu undangan.
Menurut beliau, program seperti ini dapat menghimpunkan beliawanis di seluruh negara di samping dapat mengeratkan pertalian ukhuwwah yang sedia ada.
Selain itu, program seperti ini dapat menyediakan platform kepada beliawanis untuk mengembangkan bakat dan potensi yang ada selaras dengan fitrah pemudi Muslim, ujar beliau lagi.
“Beliawanis Beragenda, Penggerak Kemajuan Ummah” merupakan tema yang dipilih bagi Hari Beliawanis Nasional 2011 yang pertama kali dianjurkan di Dewan Komuniti Cyberjaya ini.
Antara program yang dilaksanakan adalah pertandingan pidato, forum ‘Ikon Muslimah’, Senamrobik Islami dan persembahan nasyid.
Selain program tersebut, aktiviti kesukanan dan mengasah minda seperti ping pong, scrabble, bandminton, catur, congkak, batu seremban dan demonstrasi gubahan buah-buahan juga mendapat sambutan yang menggalakkan.
Hari Beliawanis Nasional 2011 dihadiri oleh pemudi beliawanis dari seluruh negara dan pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya.
Mimi Safuan
Media PEMBINA