‘Retreat Pimpinan Beliawanis Nasional’, beliawanis tekad teraju bersama kebangkitan

Bangi, 24 Jun – Bertemakan ‘Mencipta Kebangkitan Pemudi’, Sekretariat Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) julung-julung kalinya telah menganjurkan ‘Retreat Pimpinan Beliawanis Nasional’ bertempat di Pejabat PEMBINA Pusat, Kajang, pada 21 hingga 22 Jun. Program ini telah menghimpunkan pimpinan-pimpinan beliawanis PEMBINA dari seluruh Malaysia.

Roszida Kamaruddin, Naib Presiden 2 yang juga merangkap Ketua Beliawanis PEMBINA Pusat ketika ditemubual berkata, “Melalui penganjuran program ini, Sekretariat Beliawanis PEMBINA berharap agar dapat membangkitkan semangat pimpinan beliawanis PEMBINA untuk lebih bersemangat memacu langkah dalam merealisasikan agenda yang telah digariskan. Sejarah kebangkitan Islam juga telah membuktikan bahawa golongan beliawanis memainkan peranan penting dan tersendiri. Oleh itu, melahirkan belia wanita Islam yang mempunyai santun, intelektual dan agenda adalah matlamat utama bagi kepimpinan beliawanis hari ini’’.

Afiqah Hamzah, Ketua Beliawanis PEMBINA Cawangan Melaka berkata, ‘’Beliawanis masa kini berhadapan dengan pelbagai ancaman yang sangat membahayakan bukan sahaja diri mereka, bahkan akidah yang selama ini menjadi tunggak jatidiri beliawanis itu sendiri. Sifat proaktif beliawanis dalam mengenalpasti elemen-elemen yang mampu memberi ancaman kepada diri mereka mampu menyelamatkan diri dari ancaman tersebut.”

retreat beliawanis

“Program seumpama ini sangat perlu diadakan bagi memastikan setiap Ketua Beliawanis di peringkat cawangan memahami halatuju PEMBINA secara keseluruhan dari kacamata Sekretariat Beliawanis,” komen salah seorang peserta program.

Salah satu slot pengisian telah sampaikan oleh Ustazah Norsaleha Salleh, Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Di antara pesanan beliau kepada pimpinan beliawanis PEMBINA adalah agar menyedari keperluan setiap kepimpinan kepada visi dan misi yang jelas agar dapat memastikan perjuangan sentiasa berada landasan yang benar berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Beliau turut mengingatkan walaupun wanita diberi peluang untuk memegang tampuk kepimpinan, ini tidak bererti mereka boleh mengabaikan peranan asasi mereka terhadap keluarga dan rumahtangga. Beliau menegaskan bahawa wanita yang hebat adalah wanita yang mampu menyeimbangkan tugasnya sebagai wanita dan pemimpin dalam masa yang sama.

Retreat ini telah diakhiri dengan bacaan resolusi oleh Roszida. Antara resolusi yang dipersetujui bersama adalah beliawanis PEMBINA harus menggiatkan lagi aktiviti pembangunan berdasarkan sifat-sifat kewanitaan di kalangan beliawanis di seluruh negara.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top