Polemik berkenaan status negara yang tercinta ini sama ada ia negara Islam atau sekular telah menjadi isu yang sengaja digembar-gemburkan terutamanya oleh ahli-ahli politik. Berikutan isu tersebut, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ustaz Ibrahim Mohd Hasan Al-Hafiz menegaskan bahawa Malaysia akan tetap menjadi negara Islam dan menjadi kewajipan setiap muslim di negara ini untuk mempertahankan hak tersebut.
Hakikat ini selari dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berkata bahawa perkara itu diperkukuh dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan agama Islam adalah agama persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan di mana-mana bahagian persekutuan.
Bahkan Dato’ Zainur Rijal Abu Bakar menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan. Islam juga jelas dinyatakan sebagai agama bagi semua negeri di Malaysia kecuali Sarawak. Islam tidak sekadar disebut sebagai agama ‘rasmi’ tetapi ‘agama bagi Persekutuan’. Tidak ada perkataan ‘rasmi’ digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah perkataan “sekular” juga tidak ditemui di dalam mana-mana bahagian di dalam Perlembagaan Persekutuan Negara.
Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Negara ini memartabatkan Islam sebagai Agama Negara – Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan – “Islam adalah agama bagi Persekutuan;” atau dalam teks asalnya “Islam is the religion of the Federation;”. Jika diterjemahkan ke bahasa Arab ia bermaksud – “Al-Islam deen al-dawlah”. Bersandar kepada ketinggian kedudukan Islam sebagai Agama Negara ini, Fasal 1 Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan mewajibkan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk membuat satu komitmen atas nama suci Allah dengan melafazkan sumpah untuk memelihara agama Islam pada semua masa.
Namun sejak kebelakangan ini, Islam sebagai agama negara mula dipertikaikan terutamanya oleh parti-parti yang didominasi oleh non-muslim seperti DAP dan MCA. Ini merupakan di antara usaha mereka untuk menggugat kedudukan Islam di dalam perlembagaan sekaligus meletakkan semua agama pada kedudukan yang sama.
PEMBINA melihat ini sebagai suatu ancaman untuk merendahkan kedudukan Islam, walhal sepatutnya Islam itu adalah yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Ironinya MCA dan DAP sanggup mengenepikan ideologi politik yang berlainan dan bekerjasama demi mewujudkan kuasa politik baru untuk mengeluarkan Islam daripada pentadbiran negara.
Oleh yang demikian, PEMBINA menyeru parti politik dan NGO Islam khasnya dan umat Islam amnya supaya dapat bersatu sepertimana titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, agar masyarakat Islam perlu bersatu hati dan bersepakat dalam menghadapi musuh Islam yang sentiasa mencari jalan untuk menghancurkan agama suci itu.
Umat Islam, tanpa mengira perbezaan pandangan dan ideologi harus bersama-sama memikul amanah yang telah ditaklifkan Allah di dalam Al-Quran untuk memastikan terlaksana pemerintahan sebuah negara Islam hakiki berteraskan hukum Allah secara total. Hanya dengan melaksanakan hukum Allah sahajalah manusia dapat mencapai ketenangan hidup dan keharmonian masyarakat yang sebenar.
Rujukan:
http://www.ismaweb.net/2014/06/agong-seru-umat-islam-bersatu-hadapi-musuh/
http://web10.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=1046634
http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/kit-siang-dakwa-malaysia-negara-sekular-diperakui-tunku-1.97030
http://www.rakyatnews.my/index.php/20140617191412/ekslusif/mca-desak-jamil-khir-digugurkan-dari-jemaah-menteri