Resolusi Kongres NGO Islam 2014

RESOLUSI KONGRES NGO ISLAM 2014

28 REJAB 1435H / 28 MEI 2014

 DEWAN DECTAR, UKM BANGI SELANGOR.

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH, MAHA PENYAYANG

SELAWAT DAN SALAM KE ATAS RASUL JUNJUNGAN BESERTA KELUARGA DAN SAHABAT BAGINDA YANG TERBILANG

KAMI, PARA PESERTA KONGRES NGO-NGO ISLAM MALAYSIA 2014, YANG TELAH BERMUSYAWARAH ATAS TEMA CABARAN-CABARAN SEMASA UMAT ISLAM DENGAN MENUMPUKAN KEPADA ASPEK-ASPEK POLITIK, EKONOMI, HAK  ASASI MANUSIA  DAN  PENDIDIKAN, TELAH BERSEPAKAT UNTUK MENGEMUKAKAN RESOLUSI-RESOLUSI BERIKUT  DEMI MEMETAKAN TINDAKAN PERANCANGAN DASAR DAN PERLAKSANAAN PROGRAM,  DI PERINGKAT PENTABIRAN,  DUNIA KORPORAT DAN MASYARAKAT DEMI  KEDAULATAN DAN MARUAH PERADABAN NEGARA.

SESUDAH MENIMBANG PELBAGAI PANDANGAN DARIPADA PANEL JEMPUTAN DAN PESERTA, KONGRES MENGGARISKAN RESOLUSI-RESOLUSI BERIKUT:

1. MENGGESA AGAR KUASA KERAJAAN YANG DIDASARI OLEH PERLEMBAGAAN DIGUNAKAN SEBAIK MUNGKIN SEBAGAI PENYANGGA KEPADA KEUTUHAN AGAMA. SELARI DENGAN SERUAN  HUJJATUL ISLAM IMAM AL-GHAZALI BAHAWA ISLAM DAN KERAJAAN ITU ADALAH KEMBAR YANG TIADA TERPISAH (AL-DIN WA’L-MULK TAW’AMANI) – AGAMA SEBAGAI ASAS (USSUN), KERAJAAN SEBAGAI PENJAGANYA (HARIS). SESUATU TANPA ASAS AKAN RUNTUH, DAN SESUATU YANG TIADA PENJAGA, AKAN HILANG.

2. MENUNTUT UMAT ISLAM DI NEGARA INI SUPAYA BERSATU HATI DAN  SUARA, TANPA MENGIRA PERBEZAAN FAHAMAN POLITIK ATAU KUMPULAN DALAM MENDEPANI DAN MEMPERTAHANKAN KEUTUHAN DAN SURVIVAL AGAMA ISLAM, UMAT MELAYU ISLAM DAN INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU. SELARI DENGAN ITU, KAMI INGIN MENEGASKAN KEPADA SEMUA PIMPINAN POLITIK DAN BADAN-BADAN ISLAM, PERI PENTINGNYA MEMPERKASAKAN SEMULA ILTIZAM SIYASI ISLAM DAN UMAT ISLAM (ISLAMIC AND UMMATIC POLITICAL WILL) MENERUSI  PEMUAFAKATAN SUARA-SUARA UTAMA POLITIK UMAT ISLAM. KALAUPUN TIDAK SAMPAI BERSATU DALAM SATU GABUNGAN, SUARA-SUARA UTAMA POLITIK UMAT WAJIB  TAMPIL SENADA DAN SEPAKAT DALAM  HAL-HAL YANG MELIBATKAN ISU-ISU DAN KEPENTINGAN-KEPENTINGAN ASASI AGAMA DAN UMAT ISLAM.

3.  MENGAJAK SEMUA NGO-NGO ISLAM UNTUK MEMIKUL DAN MEMPERJUANGKAN AGENDA PEMBASMIAN SINDROM BUTA HURUF ILMU EKONOMI DAN PENGUASAAN KEMAHIRAN PERNIAGAAN  DI PERINGKAT AKAR UMBI SELARAS DENGAN TUNTUTAN MAQASID SHARIAH “HIFZ AL-MAL” (MENJANA, MEMULIHARA DAN MEMELIHARA HARTA DAN ASET UMAT ISLAM). TANPA KEMANDIRIAN EKONOMI KITA TETAP TERDEDAH KEPADA PENJAJAHAN DAN MANIPULASI PIHAK LAIN.

4. MENDESAK  KERAJAAN AGAR MENTRANSFOMASIKAN SYARIKAT-SYARIKAT BERKAITAN KERAJAAN (GLCS) YANG STRATEGIK MENJADI WAQF KORPORAT DI PERINGKAT KEBANGSAAN DAN NEGERI  SEPERTI YANG DIJELASKAN DALAM PELAN WAQF INDUK NEGARA YANG TELAH DI UMUMKAN OLEH PERDANA MENTERI DEMI MELAHIRKAN GENERASI USAHAWAN DAN PENGUSAHA MUSLIM YANG MAMPU MENERAJUI PERNIAGAAN DAN ORGANISASI KORPORAT DI PERINGKAT TERTINGGI.

5.    MENYERU SEMUA PIHAK AGAR BERTEGAS DAN KONSISTEN DALAM MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN ISLAM SEBAGAI AGAMA NEGARA, SEJAJAR DENGAN PERKARA 3(1), PERKARA 37(1) DAN YANG SEUMPAMANYA, SEPERTI TERMAKTUB DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN. KAMI MENYERU PARA PEMIMPIN NEGARA AGAR SENTIASA TEGAS DALAM MENOLAK TUNTUTAN-TUNTUTAN HAK ASASI MANUSIA YANG BERTENTANGAN DENGAN PRINSIP-PRINSIP ASAS NEGARA KITA DAN PERADABAN BANGSA. KONGRES JUGA MEMUTUSKAN UNTUK MEMBERI SOKONGAN PADU KEPADA PENUBUHAN PUSAT PENYELIDIKAN DAN HAK ASASI MANUSIA (CENTRE FOR HUMAN RIGHTS RESEARCH & ADVOCACY – CENTHRA) SEBAGAI MANIFESTASI PEMUAFAKATAN NGO ISLAM DALAM MENANGANI ISU-ISU HAK ASASI MANUSIA SECARA LEBIH BERKESAN.

6. MENGGESA KERAJAAN AGAR MEMBERIKAN TUMPUAN PENUH DAN SOKONGAN YANG TIADA BERBELAH BAHAGI KEPADA USAHA PEMERKASAAN KESELURUHAN JARINGAN (VALUE CHAIN) INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM DI SEMUA PERINGKAT–DARI SEKOLAH SAMPAILAH KE UNIVERSITI – DALAM USAHA MENJUNJUNG FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM IAITU TA’DIB YANG DAPAT MEMASTIKAN KESEPADUAN LAPANGAN ILMU FARD AYN DAN ILMU FARD KIFAYAH SEBAGAI SATU USAHAMELAHIRKAN INSAN DAN WARGANEGARA BERADAB YANG MAMPU MENDEPANI CABARAN MASA KINI DAN AKAN DATANG.

7. MENYERU AGAR RESOLUSI KONGRES INI DIDUKUNG DAN DIHAYATI OLEH SELURUH UMAT ISLAM AMNYA DAN INSTITUSI PENTADBIRAN UMAT ISLAM KHASNYA SERTA SEMUA PIHAK YANG MELETAKKAN KEPENTINGAN AGAMA, BANGSA DAN TANAH AIR MENGATASI KEPENTINGAN DIRI DAN KELOMPOK.

AKHIRNYA, KAMI BERDOA KEPADA ALLAH SWT AGAR USAHA PENGISLAHAN DAN TAJDID YANG DISYORKAN OLEH KONGRES NGO-NGO ISLAM 2014 INI DAPAT MENZAHIRKAN HAKIKAT PEMBANGUNAN INSAN ADABI DAN NEGARAISLAMI YANG DITUNTUT DALAM ISLAM, AGAR NEGARA MALAYSIA YANG MAJMUK DAN MUHIBBAH INI DAPAT DITADBIR DENGAN BIJAKSANA DAN SAKSAMA LALU MEMBUAHKAN RAHMAH DAN BARAKAH BAGI SEMUA RAKYAT DAN PENDUDUKNYA, DENGAN IZIN ALLAH SWT. AMIN YA RABBAL ‘ALAMIN.

 

KONGRES NGO-NGO ISLAM 2014,

DEWAN DECTAR , UKM BANGI SELANGOR,

28 REJAB 1435H / 28 MEI 2014

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top