PEMBINA UiTM mengucapkan tahniah kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) kerana telah berjaya membantu dua badan penilai, Times Higher Education dan QS World University Rankings untuk mengubah corak kriteria pemilihan kedudukan ranking university di seluruh dunia yang mana UiTM salah satunya tidak diadili secara saksama.
PEMBINA UiTM juga turut mengucapkan tahniah kepada Naib Censelor UiTM, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar kerana telah menjadi satu-satunya wakil Asia yang dijemput oleh badan penilai terbabit pada forum di Miami yang mana beliau telah mempersoalkan bahawa penilaian yang dibuat adalah tidak adil terhadap UiTM.
Meneliti keunikan UiTM adalah untuk kepentingan orang-orang miskin, orang kurang upaya dan pelajar luar bandar, PEMBINA UiTM optimis bahawa UiTM mampu melahirkan graduan yang mempunyai daya saing yang tinggi serta berkepimpinan dan seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan negara secara kolektif. Tambahan pula, melalui modul Kemahiran Insaniah dan modul Keusahawanan yang disediakan untuk semua pelajar, UiTM secara tidak langsung dapat melatih pelajar untuk menjadi seorang yang boleh memimpin dan tidak mengharapkan kerja daripada kerajaan atau swasta.
Selari dengan motto UiTM ‘Mengubah Destini Anak Bangsa’, PEMBINA UiTM memberikan sokongan padu kepada UiTM dalam menjayakan projek ‘kemenjadian pelajar’ agar pelajar-pelajar UiTM dapat mengubah nasib mereka menjadi seorang yang berjaya dan mampu menyumbang kembali kepada agama, bangsa dan negara.
Akhir kata, memetik kata-kata Imam Ghazali, “Jika kamu ingin melihat kemajuan di dalam sesebuah negara, maka lihatlah pemuda dan pemudinya”. Justeru, PEMBINA UiTM meletakkan harapan yang tinggi dan sedia berganding bahu dalam mendidik pelajar-pelajar UiTM yang majoritinya adalah pemuda agar menjadi seorang insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.
Meneraju Arus Mahasiswa
Abdul Hilmi bin Mohd Sarnudin
Presiden PEMBINA UiTM Shah Alam
Qamarul Nazrin bin Harun
Presiden PEMBINA UiTM Puncak Alam & Puncak Perdana
Muhammad Faris bin Mohamed Noor
Presiden PEMBINA UiTM Arau
Muhammad Syukri bin Sulaiman
Presiden PEMBINA UiTM Pulau Pinang