Rendahkan Tulisan Jawi- Cubaan Membunuh Jati Diri Belia Muslim

Tindakan beberapa pihak sengaja merendah-rendahkan tulisan jawi dalam negara Islam ini sangat mengecewakan. Tulisan jawi telah diguna pakai oleh penduduk Tanah Melayu sebelum ketibaan penjajah lagi. Tidak perlu menimbulkan isu sensitif penduduk asal Malaysia dengan memperlekehkan kewujudan tulisan jawi pada papan tanda atau penunjuk arah di tempat awam. Saya tidak merasakan pihak yang sengaja menimbulkan kontroversi ini buta sejarah. Sejarah merakamkan bahawa, bangsa Melayu yang semestinya beragama Islam ini (menurut takrifan Melayu dalam perlembagaan) sangat berpegang teguh dengan ajaran Islam sehinggakan mereka menggunakan huruf-huruf arab sebagai tulisan mereka yang dinamakan tulisan jawi.

Saya lihat, pemilihan tulisan jawi merupakan usaha nenek moyang terdahulu yang ingin memastikan anak bangsa Melayu mampu membaca Al-Quran dengan baik. Melalui pemerhatian saya, generasi kini yang tidak pandai membaca tulisan jawi mempunyai masalah dalam pembacaan Al-Quran. Tindakan pihak yang sengaja memperlekehkan identiti bangsa Melayu ini dilihat sebagai satu usaha cuba melenyapkan nilai Islam dalam identiti dan jati diri kita.

Awal Januari lepas, Sister of the Infant Jesus, Celina Wong telah menghantar surat arahan menanggalkan papan tanda sekolah tersebut yang mengandungi tulisan jawi kepada pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Mertajam. Hakikatnya, sekolah berkenaan adalah di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Pulau Pinang sebagai sekolah kerajaan mengikut perjanjian terdahulu. Para mubaligh tidak mempunyai hak dalam mengurus sekolah terbabit.

tulisan-jawi

Bukan itu sahaja, baru-baru ini di laman sesawang, Y.B. Dr. Ong Kian Ming cukup berani memperlekehkan tulisan jawi pada papan tanda Perpustakaan Negara yang didakwa sebagai pelik mengapa perlu ada tulisan jawi sedangkan tulisan roman bahasa Melayu sudah tertera di situ. Bahkan, beliau menuntut agar tulisan Cina dan Tamil turut dipaparkan pada papan tanda sebagai tambahan kepada bahasa Malaysia.

Adakah beliau tidak sedar bahawa Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi Malaysia? Ini adalah maklumat umum semua rakyat Malaysia perlu tahu. Tidak perlu timbul isu di situ tulisan jawi atau roman kerana kedua-duanya adalah bahasa Malaysia. Ini bukan kes yang pertama. Sebelum ini ada juga pihak yang menuntut agar papan tanda jalan tulisan mereka turut dipamerkan walaupun hakikatnya hanya beberapa peratus sahaja penduduk Malaysia memahami tulisan mereka!

Saya menyeru pada semua belia Islam supaya kita tetap teguh dalam menjaga identiti kita yang sangat dekat dengan nilai Islam. Tulisan jawi adalah identiti kita. Ia mengingatkan kita bahawa bangsa kita adalah bangsa yang telah meninggikan syiar Islam di Tanah Melayu dari dulu hingga kini. Bila mana ada ancaman-ancaman yang cuba mencabut rasa hormat kepada bangsa kita, kita harus bangkit! Janganlah sentiasa bertolak ansur yang akhirnya mereka lebih berani menolak kita beransur-ansur hingga kita cair dengan jati diri sebagai seorang belia Melayu Islam.

rai

Nor Raidah Rahmat
Ketua Beliawanis PEMBINA Bangi
Siswazah Sarjana Haiwan, UKM

Sumber: Laman sesawang PEMBINA Bangi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top