Hari semakin gelap. Mentari baru sahaja melabuhkan tirainya. Namun, jalan raya tidak lagi lenggang dari ‘mobil’ dan ‘speda’. Asyik ‘macet’ sahaja. Kami asyik berpusing di kawasan sekitar dengan menaiki bas mini. Dari tadi sibuk mencari lokasi yang ingin ditujui. Sesekali terasalah jalan masuk ke jalan sempit. Nasib baik pemandu bas kami, Pak Imam, seorang yang pakar. Malam itu, kami sudah menyusun jadual pertemuan dengan aktivis KAMMI di Bandung.
Malam bertambah gelita. Jam sudah menunjukkan hampir 7 malam. Waktu maghrib hampir tamat. Kang Edy, anak muda tempatan yang menemani kami sepanjang perjalanan jenuh mencari jalan ke destinasi. Kami hanya bingung di dalam bas kerana tidak biasa dengan keadaan sekeliling. Setelah hampir setengah jam kemudian, akhirnya bas mini pun mula berhenti . Kang Edy memaklumkan kepada kami yang kami sudah sampai ke destinasi. Alhamdulillah.
Di Bandung, malamnya agak sejuk. Kami menyarung jaket dan keluar dari bas. Kami disambut oleh seorang tetamu yang istimewa, Akh Irfan namanya. Bertubuh agak kecil, berkulit sedikit gelap, dan kakinya agak tempang. Dari raut wajah dan pakaiannya, saya kira Akh Irfan baru pulang dari kampus. Kepenatan yang dialami beliau langsung tak dihiraukan. Kami disambut mesra walaupun tidak pernah kenal sebelum ini. Akh Irfan membawa kami ke rumahnya.
Berjalan melalui lorong – lorong kecil
Kami masuk melalui lorong – lorong sempit. Di lorong itu juga ada banyak motor dan basikal yang lalu. Juga ada banyak kedai – kedai kecil. Jelas betapa mereka begitu gigih mencari rezeki. Kami terus berjalan mengekori Akh Irfan.
Di suatu simpang, kami bertemu pula dengan seorang lagi ikhwah, Akh Arif. Juga bertubuh kecil, sedikit kurus, dan berkulit putih. Sentiasa memberikan senyuman manis. Mereka berdua membawa kami ke rumah mereka. Sampai di satu lorong yang sangat sempit, cuma mampu memuatkan seorang sahaja. Di hujung lorong tersebut, tidak disangka ada sebuah rumah kecil berwarna oren. Kami dijemput masuk.
Lorong sempit (memuatkan seorang sahaja) untuk ke rumah
Dalam rumah tersebut terdapat dua ruang yang agak kecil. Juga terdapat 3 bilik, 1 tandas dan ruang dapur. Sebaik sahaja sampai, kami solat jamak taqdim maghrib dan isyak di ruang utama. Sesudah menunaikan solat, kami terus duduk sambil membuat bulatan bersama – sama dengan tuan rumah. Selain Akh Irfan dan Akh Arif, dua lagi ahlul bait ialah Akh Helmi dan Akh Hariq.
Ikhwah KAMMI (dari kiri: Akh Helmi, Akh Irfan, Akh Hariq)
Ikhwah KAMMI memulakan sesi taaruf. Tak disangka, keempat – empat ikhwah yang tinggal di rumah itu adalah kepimpinan tertinggi KAMMI cawangan Jawa Barat. Akh Irfan sebagai ketua, Akh Helmi sebagai bendahari, Akh Arif sebagai setiausaha, dan Akh Hariq sebagai biro pengkaderan. Kesemuanya merupakan pelajar Sarjana dalam pelbagai bidang. Kami merasa kagum. Saya juga terkejut apabila mereka khabarkan yang rumah ini juga digunakan sebagai ‘kantor’ KAMMI Jawa Barat. Kemudian, Akh Irfan menceritakan serba sedikit sejarah dan perkembangan KAMMI. Mereka juga berkongsi cara KAMMI membina kader – kader di kampus, menentang kezaliman pemerintah, melawan serangan kristianisasi dan liberalisme secara berdepan.
Sesi perkongsian antara dua negara
Selepas sesi perkongsian KAMMI, saya juga mula berkongsi kepada mereka perkembangan PEMBINA dan akvitisme mahasiswa di Malaysia. Kami juga saling bertukar – tukar pendapat dan saling berkongsi pandangan. Pertemuan pada malam itu berlangsung hampir satu jam lebih. Di akhir sesi, kami mengadakan sesi bergambar dan bertukar buah tangan. Selepas itu, ikhwah KAMMI membawa kami pergi ke ‘toko’ buku dan kedai makan untuk makan malam.
Sesi bergambar dan pemberian cenderamata dari PEMBINA & ISMA
Sesi pemberian cenderamata dari ikhwah KAMMI (buku tulisan aktivis KAMMI)
Saya kira pertemuan ini sangat bermakna dan membawa semangat ukhuwwah dan mahabbah antara aktivis dari dua negara yang berbeza. Meskipun berbeza namun jiwa dan perasaan itu terasa dekat dan serasi. Semoga kita dipertemukan semula, insyaAllah.
*Saudara Ammar bin Ahmad Raji (Pengerusi cawangan PEMBINA Shah Alam) dan rombongan dari PEMBINA dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Shah Alam yang mengadakan lawatan ke Bandung pada 25 Januari 2014.
*KAMMI (Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia) merupakan sebuah organisasi mahasiswa muslim yang lahir di era reformasi tahun 1998 di Malang.
-speda :motorsikal
-mobil :kereta
-macet : kesesakan lalu lintas
-kang : abang
-kantor : pejabat
-kader : penggerak
-toko : kedai