KAJANG, 15 Ogos 2011 – Ramadhan merupakan saat paling tepat untuk melakukan perubahan dalam diri terutama dalam memperkasakan jati diri sebagai belia Muslim. Demikian menurut Roszida Kamaruddin, JKP PEMBINA, dalam satu temubual bersama mediaPEMBINA di pejabat beliau. Roszida turut merujuk penulisan Yusuf al-Qardhawi yang mengatakan bahawa terdapat 5 rahsia ramadan iaitu:
1. menguatkan jiwa
2. mendidik kemahuan
3. menyihatkan badan
4, mengenal nilai kenikmatan
5.mengingat dan merasakan penderitaan orang lain
“Sekiranya setiap detik pada Ramadhan dimanfaatkan dengan baik, sudah pasti akan memberi kesan yang baik kepada setiap peribadi,” ujar beliau.
Roszida menambah bahawa 30 hari dalam bulan merupakan satu tempoh masa yang cukup melatih belia Islam mengekang hawa nafsu dengan menahan perut dari makan dan minum. “Rasulullah saw pernah bersabda, “Bejana yang paling buruk/jelek adalah perut”,” beliau mengungkap.
Pada masa yang sama, Roszida turut menyatakan kegembiraan melihat belia terutama mahasiswa di IPT menyambut bulan ramadhan tahun ini dengan penuh semangat. Ianya dapat dilihat dengan poster-poster yang digantung, serta kehadiran ke solat terawikh yang amat memberangsangkan. Tidak kurang juga, beliau melihat ramai yang hadir ke masjid memeriahkan majlis tadarus.
Namun Roszida mengingatkan kepada semua mahasiswa supaya tidak sekadar menghayati bulan ini hanya pada awal bulan sahaja. Seharusnya di penghujung bulan inilah yang lebih meriah dan lebih ditingkatkan ibadah dan ketaqwaan kepada Allah.
MediaPEMBINA