BRINCHANG, 8 Ogos– Sebagai tanda keprihatinan atas kejadian tanah runtuh di Perkampung Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata semalam, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Perak telah menghantar sedikit sumbangan kepada mangsa-mangsa tanah runtuh di penempatan sementara Dewan SJKC Brinchang.
Delegasi PEMBINA Perak diketuai oleh Pengerusi, Ahmad Muslim Ahmad Roslan, dan dua orang ahli PEMBINA, Mohammad Abrar dan Mohammad Khaidir telah membawa sedikit sumbangan berbentuk biskut, roti, air kotak dan lain-lain lagi.
Dilaporkan, lebih kurang 120 buah keluarga orang asli yang berisiko tinggi telah dipindahkan ke penempatan sementara. Ketika kehadiran delegasi PEMBINA Perak di penempatan sementara, beberapa agensi kerajaan yang awal memberi bantuan sukarela atau sumbangan antaranya adalah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kebajikan Orang Asli (JKOA). Sumbangan PEMBINA Perak telah diberikan kepada pihak YADIM dan JKM untuk diagih-agihkan kepada mangsa.
Menurut Ahmad Muslim, ini merupakan kali pertama PEMBINA Perak terlibat dalam memberi sumbangan dan bantuan kemanusiaan kepada mangsa tragedi alam dan akan lebih giat lagi dalam masa-masa akan datang.
“Bantuan kemanusiaan merupakan tanggungjawab semua orang terutamanya bagi umat Islam. Bantuan yang cepat menunjukkan keprihatinan kita terhadap kemalangan yang berlaku lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan orang Islam. NGO-NGO Islam sepatutnya lebih prihatin dalam kejadian-kejadian begini,” tambah beliau.
Semoga sumbangan yang sedikit itu dapat mengurangkan bebanan dan penderitaan mangsa dan keluarga. PEMBINA Perak mendoakan agar mangsa tabah menghadapi dugaan ini.
Sumber: PEMBINA Perak