Polemik isu PTPTN kini berkumandang lagi. Selepas Demo pemansuhan PTPTN yang dijalankan di Dataran Merdeka tempoh hari, isu ini diheret kedalam universiti. Luka yang hampir sembuh berdarah kembali apabila Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) mengumumkan bahawa pelajar yang mendapat pinjaman PTPTN tidak perlu menjelaskan pinjaman mereka sehingga Pakatan Rakyat (PR) memerintah.
Diatas pengumuman itu, pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengambil tindakan membekukan pinjaman PTPTN kepada pelajar baru yang memohon di Universiti Industri Selangor (UNISEL). Unisel merupakan IPTS dibawah kerajaan PR Selangor selain daripada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Rasional disebalik pembekuan bantuan pinjaman ini adalah kerana bimbang kadar bayar semula pinjaman PTPTN akan merosot teruk akibat pengumuman yang dilakukan DSAI.
Jelas disini beberapa perkara yang perlu diberi perhatian khusus berkaitan masa depan mahasiswa:
1) Mahasiswa masih lagi memerlukan pinjaman PTPTN terutama bagi menampung kos sara hidup.
2) DSAI mempunyai hak untuk menawarkan manifesto kepada mahasiswa, tetapi apakah rasional disebalik menghasut mahasiswa agar tidak menjelaskan hutang mereka sekarang?
3) Tindakan KPT membekukan pinjaman PTPTN merupakan tindakan yang drastik diluar pertimbangan rasional. Namun keputusan akhir belum diputuskan.
Diharap segala keputusan yang akan diambil berasaskan pertimbangan yang wajar dan mengenepikan kepentingan politik. Mahasiswa merupakan aset penting Negara bagi memimpin pada masa hadapan. Segala keputusan yang melibatkan masa depan mahasiswa haruslah dibuat atas perbincangan yang matang dan lumat.
Oleh;
Muhammad Uzair Izzat Amir Bin Muhammad
JK Politik Kampus PEMBINA
Persatuan Belia Islam Nasional