Kuala Lumpur, 5 Jun 2012 – Adalah menjadi harapan kepada sistem pendidikan negara untuk melahirkan pelajar-pelajar yang faham akan tanggungjawab sebagai pemimpin negara di masa hadapan. Hal ini boleh tercapai dengan pendidikan yang mapan dan jitu. Dasar Pendidikan Negara (DPN) telah menjadi rujukan untuk memastikan harapan ini tercapai dari masa ke semasa melalui pengaplikasiannya di institusi-institusi pendidikan.
Atas kefahaman untuk memartabatkan nilai-nilai Islam dalam pendidikan, Dewan Amal Islami, DAMAI, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, mengambil inisiatif untuk menggembleng tenaga dan pemikiran dari kalangan pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain bagi membincangkan usaha untuk mengarusperdanakan sistem pendidikan Islam di Malaysia. Antara cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia (BPI-KPM), menurut Puan Hajah Nor Hayati Bt L Isa, Timbalan Pengarah BPI-KPM, dalam ucaptama beliau adalah keseimbangan yang perlu diwujudkan antara kehendak dan kesedian sistem pendidikan yang digunapakai pada hari ini, juga karenah birokrasi dari pelbagai pihak seperti Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Negeri. Dalam ucapannya, Puan Hajah Nor meletakkan harapan agar dapat dihasilkan satu kesimpulan dan tindakan yang mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi kini, seterusnya, memperkasa sistem pendidikan Islam di Malaysia.
Sepanjang perbincangan yang berlansung dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang ini, terdapat dua pendapat yang diutarakan oleh para pembentang dan dibincangkan oleh para peserta. Profesor Ulung Dr. Mohd Kamal Hassan, dalam pembentangan beliau bertajuk ‘Membangun Modal Insan Melayu dalam Sistem Pendidikan Islam’ menekankan kepentingan menggunakan konsep Tawhidic Worldview (Pandangan Alam Berpandukan Tauhid) dalam setiap subjek pengajaran di sekolah. Dengan berpegang kepada konsep ini beliau berharap akan lahir pelajar-pelajar dan juga insan-insan yang memahami ilmu duniawi dari perspektif Islamik. Hal ini demi mengatasi gejala sosial negatif yang semakin membarah, dikatakan hasil daripada kegagalan penghayatan DPN dalam sesi pengajaran dan pembelajaran termasulah dalam subjek Pendidikan Islam di Malaysia.
Konsep yang dibahaskan oleh Profesor Ulung Dr. Mohd Kamal turut dipersetujui oleh Profesor Dato’ Dr. Sidek Baba. Dalam pembentangan beliau, Model Pendidikan Islam di Malaysia, pembentukan sekolah aliran agama telah menjurus kepada pembentukan kurikulum pendidikan Islam. Melalui pemurnian dan perkemasan kurikulum ini, maka ianya dapat diangkat sebagai kurikulum kebangsaan, membentuk model pendidikan Islam yang digunapakai dalam proses pengajaran dan pembelajaran di Malaysia.
Dr Azizi Umar membahaskan tentang sejarah dan masa depan sekolah agama di Malaysia. Beliau menegaskan banyak pengalaman yang mencabar dalam menjalankan sekolah aliran agama seiring dengan sekolah kebangsaan. Cabaran-cabaran tersebut, contohnya pentadbiran Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Negeri berbanding Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, adalah berpunca daripada polemik penguasaan antara Majlis Agama Negeri dengan BPI-KPM. Perkara ini perlu diselesaikan segera untuk memartabatkan sekolah agama di Malaysia.
Tuan Haji Mahamad Nasir bin Disa seterusnya membahaskan transformasi sistem pendidikan negara berdasarkan perlembagaan. Menurut beliau perlembagaan Negara telah memberi ruang yang luas untuk memartabatkan sistem pendidikan Islam. Isu dualisme sepatutnya dapat diatasi dengan baik selagi ruang-ruang untuk memperkasa sistem pendidikan Islam yang ditempatkan dalam perlembagaan diraikan dengan sebaiknya.
Di akhir sesi, para peserta memberi maklum balas yang pelbagai. Antara yang menjadi perhatian adalah pandangan daripada belia. Saudara Ahmad Fahmi bin Muhd , Presiden PKPIM melontarkan pandangan bahawa penambahkbaikan sistem pendidikan Islam dapat diperluas lagi di pelbagai peringkat seperti di surau dan masjid, tidak terhad kepada pendidikan peringkat sekolah rendah dan menengah semata-mata. Mewakili PEMBINA, saudara Muhammad Norazim Bin Mohd Zainol, yang juga merupakan guru pelatih di Institut Pengajian Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur, menyuarakan keprihatinan beliau terhadap langkah-langkah melahirkan generasi pendidik yang mendokong aspirasi DPN, sekaligus memartabatkan pendidikan Islam. Tanpa kelahiran generasi pendidik yang mendokong aspirasi ini, apa yang berlaku seterusnya adalah seperti kata pepatah ‘Guru kencing berdiri, Anak Murid kencing berlari’.
Oleh:
Iqbal Hakim bin Abdul Razak
JK Latihan dan Kepimpinan PEMBINA 2012