Liberalisme Agen Perosak Bangsa

Menelusuri era globalisasi kini, fahaman liberalisme semakin menular dalam minda masyarakat dan para belia secara amnya. Cara pemikiran berasaskan liberalisme merupakan penyebab utama kepada keterpesongan kepercayaan dan aqidah masyarakat Islam masa kini. Tanpa disedari, hakikatnya masyarakat Islam kini telah mengikut cara pemikiran liberalisme dan itu yang dimaksudkan dengan liberalisme secara lebih mendalam.

Liberalisme merupakan satu falsafah yang meletakkan kebebasan individu sebagai nilai politik tertinggi. Individu yang menerima dan mengamalkan konsep liberalisme ini digelar sebagai liberal. Fahaman liberalisme ini berasal dan berkembang dari barat yang mempunyai pandangan hidup berasaskan kebebasan. Berdasarkan fahaman ini, setiap individu mempunyai hak tersendiri dalam melontarkan pandangan dan pendapat. Walaubagaimanapun, mereka tidak mendasarkan pandangan-pandangan mereka kepada satu sumber. Kita sebagai umat Islam, sentiasa berpandukan Al-quran dan as-sunnah dalam mentafsirkan sesuatu perkara atau melontarkan pendapat. Walhal, mereka yang mengikut fahaman liberalisme ini hanya memberi pandangan dan pendapat berdasarkan apa yang terlintas dalam benak fikiran mereka. Hal ini demikian kerana, mereka berpegang kepada prinsip-prinsip seperti kebebasan berfikir dan hak kebebasan bersuara.

Tamsilannya, dapat kita perhatikan isu yang sedang hangat diperkatakan, bukan sahaja dalam negara kita, bahkan negara-negara luar juga, iaitu isu berkaitan Irshad Manji. Mungkin masih ada yang tertanya-tanya, siapakah insan ini? Irshad Manji merupakan seorang Muslim yang suka berfikir, namun beliau menggunakan cara pemikiran yang terlalu terbuka atau lebih dikenali sebagai liberal. Beliau berfikir tanpa mempunyai panduan yang betul dan mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran mengikut fahaman beliau sendiri. Bukan itu sahaja, malah beliau turut mempertikaikan kebenaran ayat-ayat Al-Quran dan mempersoalkan tindakan Nabi Muhammad SAW dan sifat kemanusiaan baginda. Jelaslah bahawa, cara pemikiran sebeginilah yang mampu membawa kepada keterpesongan aqidah Islam.

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak gerakan Islam liberal iaitu gerakan yang berusaha untuk menafsirkan semula Islam. Tujuan mereka adalah tidak lain hanya untuk mengelirukan umat Islam yang hidup di akhir zaman ini. Mereka cuba untuk menafsirkan semula Al-quran dan As-sunnah tanpa berpandukan dari sumber yang sahih. Mereka hanya membuat tafsiran berdasarkan pandangan peribadi mereka semata-mata. Oleh hal yang demikian, ia membawa kepada perubahan daripada maksud sebenar Al-quran dan As-sunnah itu sendiri, sekaligus menimbulkan keraguan terhadap kepercayaan kepada apa yang telah menjadi pegangan hidup umat Islam selama ini.

Justeru, para belia dan beliawanis harapan bangsa, haruslah peka akan isu-isu seperti ini yang semakin lama semakin merosakkan bangsa khususnya umat Islam itu sendiri. Isu liberalisme ini tidak sepatutnya dipandang enteng, bahkan perlu sentiasa diambil perhatian agar para belia yang menjadi tunjang pembangunan bangsa dan agama tidak terjerumus dan terpengaruh dengan individu-individu yang mengamalkan fahaman liberalisme ini.

 Akhir kalam, setiap di antara kita haruslah bersama-sama berusaha untuk memperkayakan diri dengan ilmu-ilmu berkaitan Islam agar segala pandangan negatif dan tafsiran yang meragukan berkaitan agama dapat disangkal dengan hujah-hujah bernas. segala yang diusahakan dan diperjuangkan demi agama dan demi menegakkan Islam, nescaya akan mendapat keredhaan Ilahi.

 Dengan nama Allah yang MAHA pemurah lagi MAHA mengasihani.

 “Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? “Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! “Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)”. Al-Furqan (ayat 27-29)

Wallahu’alam …

 

Penulis:

Norfarhana binti Mazlan

Aktivis PEMBINA Sarawak

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top