BANDAR BARU BANGI – Karnival Futsal Islami (Kahfi) yang memfokuskan pengisian nilai Islam anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) berjaya penyertaan seramai 200 peserta.
Ketua Cawangan Pembina Bangi, Aizuddin Khalid berkata, kejohanan ini diadakan antara lain bertujuan mempromosikan semangat kesukanan Islam dalam kalangan belia termasuk etika berpakaian semasa bersukan.
“Nilai-nilai Islam hanya akan mampu dihayati sekiranya ia diamalkan dalam setiap keadaan tanpa mengira sebarang aktiviti kemasyarakatan ataupun ketika bersukan.
“Sememangnya sebagai umat Islam, kita amat diharuskan supaya menjaga etika pemakaian kita bagi mengelakkan pandangan segelintir masyarakat terhadap generasi muda dari segi etika berpakaian”, katanya.
Menurutnya, Pembina adalah sebuah persatuan yang berdaftar dengan Kementerian Belia dan Sukan yang sentiasa fokus mempromosikan nilai-nilai Islam dalam kalangan belia Muslim di negara ini.
Hadir merasmikan program itu adalah Timbalan Yang Dipertua Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Ghazali Abbas.
Sementara itu, pada edisi kali ini, juara kejohanan milik Kipas Angin diikuti naib juara Sentuhan Kecundang manakala ketiga dimenangi BBC.
Kesemua pasukan berkenaan menerima medal, hamper dan hadiah wang tunai daripada pihak penganjur.
Sumber: Sinar Harian