KAHFI Menerapkan Kepada Belia Nilai Islam

BANGI, 24 Julai 2010 – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Bangi telah menganjurkan satu pertandingan futsal yang lain daripada biasa. Karnival Futsal Islami atau nama singkatannya KAHFI membawakan keunikannya yang tersendiri dengan mengetengahkan nilai-nilai Islam dalam aktiviti bersukan. Sebanyak 26 pasukan telah menyertai KAHFI pada tahun ini. Mereka mengikuti KAHFI seperti pertandingan futsal yang lain namun diperbaiki dengan penerapan nilai-nilai yang baik seperti saling menghormati dan tidak menggunakan kata-kata kesat walaupun di tahap semangat yang tinggi.  Selain penerapan nilai-nilai Islam, KAHFI yang mengumpulkan lebih daripada 200 belia dari sekitar Bangi dan institusi berdekatan juga berpeluang menunaikan solat secara berjemaah di atas turf futsal sebaik sahaja azan Zuhur dilaungkan di sana.

 

Tn. Hj. Ghazali Abbas kagum dengan usaha PEMBINA untuk mengetengahkan konsep KAHFI kepada belia.

KAHFI pada tahun ini dirasmikan oleh Tn. Hj. Ghazali Abbas yang merupakan Timbalan Yang-Di-Pertua Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi. Beliau telah menekan bahawa ummat yang kuat dan sihat dapat memberikan lebih banyak manfaat daripada ummat yaang lemah. Beliau amat mengharapkan belia mampu terus mendekati Islam agar dapat sama berbakti kepada agama. Majlis perasmian juga dibakar dengan semangat daripada ucapan Ketua Cawangan PEMBINA Bangi, saudara Aizuddin Khalid yang menekankan bahawa KAHFI ini tidak sama dengan pertandingan futsal yang lain. Katanya, KAHFI bertujuan untuk mempromosikan semangat kesukanan yang berteraskan Islam kepada belia. Menurut beliau, nilai-nilai Islam hanya akan mampu dihayati sekiranya ia diamalkan dalam setiap keadaan termasuk ketika bersukan.

Pemenang bergambar bersama penganjur KAHFI Bangi 2010

KAHFI telah berlangsung dengan jayanya dengan kerjasama ahli jawatankuasa yang berdedikasi serta bantuan dan sokongan ahli PEMBINA cawangan Bangi yang lain. Pasukan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan nama Kipas Angin telah muncul sebagai juara KAHFI, sementara Sentuhan Kecundang yang merupakan satu-satunya pasukan yang membariskan pemain yang berumur 30-an muncul sebagai Naib Johan dan tempat ketiga dimenangi oleh pasukan BBC yang merupakan pelajar-pelajar daripada Malaysian-France Institute (UniKL-MFI) setelah mengalahkan pasukan Madani United yang merupakan pelajar-pelajar Universiti di Arab Saudi yang sedang balik bercuti di tanah air.

Antara aksi semasa KAHFI berlangsung

PEMBINA merupakan sebuah persatuan yang berdaftar dengan Kementerian Belia dan Sukan yang sentiasa fokus mempromosikan nilai-nilai Islam dikalangan belia. Pengarah Program KAHFI, saudara Muhammad Faisal, dalam majlis penutup menyatakan, PEMBINA cawangan Bangi akan berusaha untuk menganjurkan KAHFI yang lebih baik pada tahun hadapan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top