Perutusan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Kebangsaan Presiden PEMBINA

Allahu akbar x3
Walillahil-hamd

Alhamdulillah pada tahun ini kita menyambut dua perayaan besar serentak, iaitu Eidul-Fitri dan Hari Kemerdekaan Malaysia.

Eidul-Fitri meraikan kejayaan umat islam yang berjaya membebaskan diri dari kongkongan hawa nafsu selama 1 bulan. Maka pada 1 Syawal, hari kebesaran ini dialu-alukan dengan saling mengucapkan “minal aidin wal faizin” bermaksud “semoga kita tergolong dari kalangan orang yang kembali kepada fitrah dan berjaya”

Kemerdekaan disambut bagi mengenang detik pembebasan Malaysia dari penjajahan. Tahun demi tahun berlalu, erti kemerdekaan semakin hilang dari benak fikiran rakyat, tenggelam dek sambutan yang disulami hedonisme.

Adalah wajar untuk 2 perayaan ini dihayati bersama, dan semoga kita kembali kepada fitrah agama islam merupakan sebuah risalah yang diutuskan untuk memimpin dunia.

Erti sebuah kemerdekaan ialah apabila kita mampu melepaskan fizikal dan minda dari tekanan globalisasi, sehingga kita mampu melakarkan agenda kita sendiri di bawah panji-panji tanahair kita Malaysia, tanpa perlu bergantung dan dipengaruhi Barat.

Adalah menjadi sebuah perjuangan yang cukup besar bagi kita untuk membina sebuah gagasan yang berjatidiri, bebas dari kongkongan Barat. Menjadi harapan PEMBINA untuk melihat satu masa nanti rakyat Malaysia mampu memimpin dunia sebagai sebuah gagasan Muslim yang progresif dan berdaya saing. Ketahuilah, kita umat Islam adalah sebuah bangsa yang mempengaruhi dunia satu masa lalu, dan bangsa kita, Melayu khususnya, adalah bangsa yang berpengaruh di seantero dunia sejak 500 tahun yang lalu. Pengiktirafan dunia ini sahih, sehinggakan sejarawan Tome Pires jelas mengungkapkan “Sesiapa yang menawan Melaka, bererti dia telah mencekik leher Venice”.

Sempena 2 perayaan ini, PEMBINA menyeru lapisan belia islam yang merupakan tonggak negara, agar mula bergerak membebaskan diri dari penjajahan minda. Sewajarnya kita menjadi juara dunia, menyerlahkan keunikan kita sebagai umat Islam, dan seterusnya menjadi bangsa yang mempengaruhi bukan dipengaruhi.

Kejayaan demi kejayaan yang kita kecapi di segenap arena akademik, kepakaran teknikal, sukan, kepimpinan, jelas menunjukkan bahawa umat islam Malaysia adalah sebuah umat yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Serlahkanlah potensi, berani menyahut cabaran, insyaAllah kejayaan pasti milik kita, demi umat islam dan negara Malaysia yang tercinta.

Salam Syawal, Salam Merdeka, Salam perjuangan membebaskan diri dari penjajahan minda dan hawa nafsu.

Eid Mubarak, Kullu amm wa antum bikhair,minal aidin wal faizin insyaAllah. maaf zahir & batin dari PEMBINA kepada seluruh belia islam Malaysia.

Allahu akbar x3
Walillahil-hamd

 

Norzafry Norhalim
Presiden PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top