Sempena menyambut bulan Syawal yang mulia ini, saya mewakili kepimpinan PEMBINA Pusat ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada semua belia khususnya dan umat Islam amnya. Semoga Allah menerima amalan kita sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak sebagai amalan yang soleh dan dilepaskan kita daripada segala dosa dan seksaan api neraka seperti mana hadis tatkala Rasulullah SAW menaiki mimbar seraya berkata, “Amin!” sebanyak tiga kali:
Beliau bersabda, “Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku lalu berkata, “Celakalah orang yang berlalunya bulan Ramadhan begitu saja sehingga dia tidak diampuni”. Aku berkata, “Amin”.
Di kesempatan ini juga saya ingin menyeru kepada semua umat Islam agar menyambut Syawal dengan penuh kegembiraan bersama keluarga dan sanak saudara sambil memeriahkan amalan ziarah menziarahi dan maaf bermaafan sesama Islam. Seharusnya kita mengambil kesempatan ini untuk saling mengeratkan silaturahim, memupuk semangat persaudaraan dan perpaduan sesama Islam kerana ia merupakan tonggak dan pra syarat kekuatan ummah. Perasan benci, dendam lama, perbezaan pendapat dan fahaman politik harus diketepikan demi maslahah dan kepentingan ummah yang lebih besar. Ini terutamanya dalam menghadapi musuh Islam yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memecah-belahkan ummat Islam.
Saat bergembira menyambut Hari Raya, jangan pula kita melupakan nasib saudara kita yang sedang berjuang di bumi Gaza. Sehingga kini bumi Gaza telah menyaksikan lebih daripada 891 syuhada dan 5,860 rakyat cedera hasil dunia yang terus berdiam dan merelakan serangan Zionis laknatullah. Dengan pengumuman bantuan daripada Amerika, sekutu Israel, maka telah terbukti bahawa pertembungan antara haq dan batil sentiasa berlaku sepanjang masa. Ia juga membuktikan kekuatan tentera Hamas dan bantuan Allah SWT akan tetap bersama-sama Al-haq. Justeru itu marilah sama-sama kita meneruskan doa Qunut Nazilah dan sumbangan bagi membantu kemenangan Al-Haq.
Keseronokan menyambut Hari Raya juga seharusnya menjadikan kita lebih dekat dengan Allah SWT setelah sebulan menempuh ibadah dan tarbiyah. Oleh itu janganlah kita mensia-siakan tarbiyah ini dengan maksiat dan keterlanjuran di Hari Raya seolah-olah ia menjadi hari untuk membebaskan nafsu.
Antara perkara yang perlu dielakkan adalah:
1. Bergurau senda dan bergaul bebas di antara lelaki dan perempuan bukan mahram.
2. Meninggalkan solat fardhu atau solat di akhir waktu
3. Meninggalkan Al-Quran
4. Mengumpat
5. Memutuskan silaturrahim
Semoga dengan berlalunya Ramadhan Al-Mubarak ini segala dosa-dosa kita diampunkan dan dibebaskan daripada api neraka. Perkara paling penting ialah objektif menjadikan kita insan yang bertakwa itu tercapai dengan Hari Raya menjadi medan pertama untuk menguji sejauh mana ia tercapai.
“Taqabbalallahu minna waminkum!”
Ibrahim Mohd Hasan,
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)