Dua minggu lalu, akhbar arus perdana mendedahkan kegiatan mesin judi haram yang semakin berleluasa di seluruh negara. Laporan itu menyebut faktor yang menyebabkan kegiatan ini semakin berleluasa adalah kerana rasuah. Hal ini datang daripada sikap pihak penguatkuasa yang sanggup bersekongkol dengan pengusaha mesin judi haram ini. Mereka disogokkan dengan wang bagi menutup kesalahan pemilik kedai mesin judi haram ini.
Walaupun pihak media sudah melondehkan kegiatan mereka di dada akhbar, tetapi tinjauan yang dibuat amat menyedihkan. Ini kerana premis mesin judi haram masih beroperasi seperti biasa seakan tidak ada apa yang berlaku.
Maka timbul persoalan, bagaimana perlaksanaan undang-undang membanteras judi haram ini? Sedangkan Malaysia mempunyai undang-undang membanteras judi haram paling lengkap di dunia tetapi gagal dilaksanakan dengan baik.
Didakwa juga pihak berkuasa tempatan (PBT) seolah-olah lepas tangan membiarkan polis menyerbu premis berkenaan. Tetapi tiada tindakan susulan yang di buat. Sedangkan mereka mempunyai kuasa untuk menarik lesen perniagaan premis yang menguasahakan judi haram ini.
Melihatkan kepada kegiatan mesin judi haram ini menyebabkan kitaran kepada masalah sosial. Antara yang didedahkan adalah kes seorang suami yang sanggup ‘menjual’ isterinya sendiri lantaran kalah judi. Selain itu juga, belia juga turut terjebak dalam kegiatan ini. Lantaran kerap mengunjungi kedai mesin judi haram ini. Hasilnya, lahir belia yang runtuh akhlak dan moral kerana membuang masa dan wang ringgit kepada perkara yang tidak bermanfaat. Amat malang lagi apabila melihat belia Melayu Islam turut terperangkap dengan kitaran gejala sosial ini.
Lantaran daripada laporan itu menarik perhatian Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) tentang hal ini, kerana ianya melibatkan belia Melayu Islam terutamanya. Oleh itu ikuti wawancara wartawan bersama Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian, Setiausaha Agung (SUA) PEMBINA mengenai polemik ini.
Wartawan: Adakah ustaz juga melihat kegiatan ini boleh meruntuhkan moral belia melayu Islam ? Dan bagaimana keadaannya?
Ustaz Mohd Suhail: Realiti yang pahit. Memang benar ianya meruntuhkan moral masyarakat Melayu Islam. Ditambah apabila tiada penguatkasaan yang tegas dalam isu judi. Kalau kita lihat perlaksanaan yang dilakukan, memang jika seorang Melayu muslim berjudi, adakah beliau akan ditegur mahupun didenda? Jawapannya seperti yang kita maklum, tiada tindakan tegas akan diambil kepada beliau. Maka tidak peliklah, apabila isu judi memang meruntuh moral orang Melayu muslim.
Wartawan: Dalam laporan tersebut ada dakwaan yang mengatakan PBT seolah-olah memejamkan mata tentang hal ini sedangkan mereka mempunyai kuasa mengekang kegiatan mesin judi haram ini. Bagaimana pandangan ustaz?
Ustaz Suhail: Seperti yang saya sebut, PBT bukan sahaja ada isu dalam memantau dan memegur orang muslim yang terlibat, namun kita juga perlu iktiraf isu undang-undang yang berkaitan. Terutama akta mengawal masyarakat Melayu muslim daripada berjudi adalah terpisah dan berbeza dengan akta kawalan dan kebenaran yang berkait dengan isu judi seperti Akta Rumah Seksyen 2, Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 [Akta 289], Perjudian Terbuka 1953 [Akta 289], Akta Pertaruhan 1953 [Akta 495], Akta Perlumbaan (Lembaga Totalisator) 1961 [Akta 494], dan Akta Loteri 1952 [Akta 288].
Semua akta ini terpisah dengan Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Negeri-Negeri, seperti Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] yang mendenda muslim yang terlibat dengan kegiatan perjudian.
Bagi saya, mereka tidaklah memejamkan mata, namun isu teknakaliti, undang-undang dan keutamaan tidaklah ditekankan dengan baik dalam pemantauan dan tindakan terhadap isu ini.
Wartawan: Pada pandangan pihak PEMBINA sendiri apakah jalan yang terbaik dalam menyelesaikan masalah ini ? Sekiranya punca bermula daripada Pihak PBT, sikap belia atau penjudi itu sendiri.
Ustaz Suhail: Pertama kita tidak boleh menafikan, ianya berpunca daripada pendidikan asasi agama seseorang individu muslim itu sendiri. Dari satu sudut yang lain, tekanan dan bantuan juga perlu diberikan kepada PBT. Malah bentuk-bentuk kerjasama seperti memberi kemudahan kepada masyarakat untuk membuat aduan pasti membantu. Ini kerana seorang individu yang hidup di tengah masyarakat yang prihatin dan Islamik akan jauh lebih malu dan takut untuk terlibat dengan kerakusan jenayah judi.
Di pihak PEMBINA sendiri, kami giat melaksanakan program-program bagi belia Islam. Antaranya usrah, seminar, perkhemahan, dan street dakwah dengan harapan belia Islam dapat sama-sama menghayati Islam yang sebenar. Disamping dapat menanam kuat jatidiri sebagai orang Islam agar tidak terjebak dalam gejala sosial.
Wartawan: Apakah yang pihak kerajaan boleh laksanakan terhadap hal ini?
Ustaz Suhail: Saranan untuk pihak kerajaan, dengan manpower dan sumber yang ada, beberapa peranan boleh diambil dengan baik antaranya:
1. Menilai semula sejauh mana pendidikan di pihak sekolah menanamkan rasa benci terhadap aktiviti perjudian.
2. Sejauh mana tindakan yang lebih tegas diambil terhadap muslim dan pihak pusat perjudian dalam isu ini. Hal ini kerana jika kerajaan hanya memberi fokus kepada isu ada lesen atau tidak sahaja, kesan moral daripada industri tersebut tidak akan diurus dan bakal menjadi sebuah barah dalam masyarakat.
3. Selain itu, pihak media wajib memainkan peranan memberi kefahaman kepada masyarakat terhadap isu ini.