Apa yang diwajibkan, disunatkan, dimakruhkan mahu pun yang diharamkan oleh Allah ada hikmahnya. Tujuannya adalah bagi mendorong sang hamba mengenal dan mendekati pencipta dengan jiwa yang ikhlas dan tunduk, seterusnya menempatkan hamba-NYA yang soleh, serta dijauhkan dari azab seksa Allah.
Demikian juga dengan Aidilfitri iaitu hari meraikan kemenangan setelah sebulan bermujahadah melawan nafsu dan memenuhkan hari dengan ibadah.
Walau bagaimanapun Aidilfitri bukanlah hari berakhirnya dari berlapar dan dahaga pada siang hari, berakhirnya kerajinan di masjid atau surau, berakhirnya amalan membaca Al-Quran mahupun berakhirnya penjagaan kata-kata dan perlakuan buruk sepanjang berpuasa. Ia adalah hari mensyukuri kejayaan diri yang kembali ke fitrah iaitu setelah kebersihan diri, kesucian jiwa dan fitrah hati diperolehi kembali pada bulan Ramadhan bagi mereka yang melakukan amalan sepanjang bulan yang penuh ‘tawaran bonus’ dari Allah kepada hambanya.
Maka wajarlah diluruskan niat untuk menjaga kebersihan, kesucian dan fitrah dalam meneruskan kehidupan dengan tidak lagi kembali kepada dosa-dosa baru.
Bersempena hari Syawal ini juga, umat Islam amat digalakkan untuk:
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri.
2) Menjamah makanan sebelum keluar.
“Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma (Al-Bukhari)”
3) Memperbanyakkan takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun.
4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain.
5) Memakai pakaian terbaik yang ada.
6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi)
“Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya” (Riwayat Al-Bukhari)
7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik (ukhuwwah) sesama Muslim
Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Pada kesempatan ini juga warga Persatuan Belia Islam Nasional khususnya dari cawangan Sabah Di bawah Bayu ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua belia Islam di Malaysia.
Di sebalik kegembiraan kita menyambut perayaan Syawal ini, janganlah pula kita melupakan saudara-saudara kita di Palestin dengan memberi sumbangan mahupun doa yang berterusan. Sesungguhnya doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin.
Farah Diyanah Bt Mohd Laziz
Ketua Beliawanis
Persatuan Belia Islam Nasional cawangan Sabah