Saya masih ingat lagi, pada tahun 2010, kami Ahli Jawatankuasa Pusat Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dirujuk oleh cawangan bagaimana memproses permohonan keahlian seorang siswi non-muslim sedangkan perlembagaan persatuan dengan jelas mengehadkan keahlian hanya untuk belia beragama Islam.
Keputusan mesyuarat kami ketika itu adalah membekukan permohonan, tidak ditolak dan tidak diterima sehingga status agamanya bertukar kepada Islam. Rata-rata kami ketika itu agak ragu-ragu dengan keputusan ketika itu sama ada memang benar borangnya akan diproses suatu hari nanti, sekaligus bermakna beliau telah memeluk agama Islam melalui program-program dakwah PEMBINA.
Selang setahun dua, sekali lagi kami dikejutkan dengan berita bahawa cawangan telah memproses permohonan keahlian tertangguh beliau sekaligus menjadi berita bahawa beliau telah mendapat hidayah Allah, dan PEMBINA hanya menjadi sebab musabab kepada hidayah tersebut sahaja.
Ini memberikan keyakinan kepada kami bahawa agenda yang dibawa oleh ISMA dan PEMBINA jika diberikan penerangan yang betul, dapat membawa masyarakat non-muslim kepada agama Islam bersama manhaj dakwah ini. Keduanya, ini membuktikan PEMBINA mempunyai ahli-ahli yang penuh berakhlaq, tersusun dan gigih tanpa mengenal erti penat dan jemu dalam menyampaikan dakwah.
Hari ini, kami di pusat dikejutkan lagi dengan mesej dari beliau yang beliau tidak gentar dengan serangan-serangan Cybertrooper Read Bean Army di laman Facebook Maliciouskini. Kami di pusat telah meminta supaya beliau menutup akaun Facebook peribadinya kerana bimbangkan keselamatan beliau. Ini memberikan keyakinan lagi kepada kami bahawa sistem tarbiah yang disusun memang benar melahirkan seorang pejuang yang berani dan tidak gentar menyatakan kebenaran.
Semoga kita semua ditetapkan Allah di atas jalan ini.
#WeAreAllAlifahTing
Oleh: Ustaz Salman Abdul Rahman, Mantan Setiausaha Agung PEMBINA 2013/2014