PEMBINA simpati siswi Malaysia mangsa jenayah culik, rogol di Bandung

Bangi, Selasa- Portal berita Detik.com hari ini melaporkan seorang mahasiswi Universiti Padjajaran, Bandung, warganegara Malaysia telah diculik dan dirogol oleh tiga orang lelaki yang tidak dikenali. Mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan pulang daripada mengeluarkan wang dari ATM yang berada tidak jauh dari rumahnya di kampus Jatinangor. Mangsa ditegur oleh seorang lelaki yang tidak dikenali sebelum diculik. Menurut Ketua Polis Cimahi, Erwin Kurniawan, mangsa dirogol oleh tiga lelaki yang tidak dikenali kemudian ditinggalkan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mahasiswi itu  kini  dirawat di Hospital Hassan Sadiqi, Bandung.

“Perbuatan mencabul kehormatan manusia merupakan perbuatan yang keji dan hina. Ia adalah satu tamparan hebat kepada mangsa. Ia bukan sahaja memberi kesakitan fizikal malah emosi dan spiritual. Mungkin begitu yang sedang dialami oleh salah mahasiswi tersebut sekarang. Saya turut bersedih dengan tragedi yang berlaku dan berharap mahasiswi tersebut akan segera pulih seterusnya tidak patah semangat untuk meneruskan pengajiannya,” kata Ummi Kalsom Mohamad Khalid, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia PEMBINA Pusat ketika ditemui wartawan Media PEMBINA hari ini.

Tambah beliau lagi, Kedutaan Besar Malaysia ke Republik Indonesia diharap dapat memberikan bantuan moral kepada mangsa dan keluarga, terutamanya dalam membantu siasatan sehingga penjenayah-penjenayah ditangkap dan dibicarakan atas jenayah yang dilakukan.

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mengucapkan takziah kepada mahasiswi yang menjadi mangsa jenayah tersebut dan ahli keluarga atas musibah yang  menimpa. PEMBINA mewakili semua belia di Malaysia mendoakan agar mahasiswi terbabit tabah mengahadapi ujian. PEMBINA menasihatkan semua mahasiswi yang sedang menuntut di luar negara untuk menitikberatkan aspek keselamatan diri masing-masing termasuk dengan mengelakkan berjalan seorang diri walaupun di waktu siang. Generasi muda terutamanya golongan mahasiswa merupakan aset penting negara di masa hadapan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top