“PEMBINA MENYERU KERAJAAN MENGEKANG SEMUA PLATFORM PELACURAN MODERN”

KENYATAAN RASMI PEMBINA ISU PENINGKATAN HIV DI UNIVERSITI 

  1. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata berdasarkan notifikasi jangkitan kes dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat 214 kes HIV membabitkan pelajar pengajian tinggi pada 2020, diikuti sedikit penurunan 186 kes pada 2021. Jumlah itu bagaimanapun kembali meningkat kepada 221 kes pada 2022 dan 244 kes pada tahun lalu. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Selasa kepada soalan Ahli Parlimen Padang Serai dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin mengenai jumlah pelajar institusi pengajian tinggi yang dijangkiti HIV dari 2020 hingga sekarang.
  1. Susulan kenyataan KPT di atas, kita wajar melihat apakah penyumbang utama kepada peningkatan HIV. Berdasarkan laporan ‘In Danger: UNAIDS Global AIDS Update 2022’ terdapat peningkatan ketara jangkitan HIV dan AIDS di 38 buah negara dari tahun 2015, dan gejala hidup songsang adalah penyumbang utama kepada jangkitan HIV dan AIDS. Tambahan, sebanyak 90 peratus jangkitan HIV adalah berpunca daripada golongan lelaki dan 57 peratus disebabkan hubungan seks lelaki dengan lelaki (homoseksual/MSM) terutama dalam kalangan belia yang berumur di antara 20 hingga 39 tahun. Lebih membimbangkan, sebuah laporan bersifat ramalan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia turut menjangkakan Men-sex-with-men (MSM) atau homoseksualiti diramalkan akan terus meningkat sebagai kumpulan utama dalam kes positif HIV menjelang tahun 2030.
  1. Melihat kepada peratusan yang melibatkan golongan belia dan mahasiswa ini, walaupun KPT menjalankan pelbagai advokasi, untuk memupuk gaya hidup sihat dan pencegahan HIV, keutamaan perlu diberikan kepada penganjuran kempen-kempen untuk menolak gejala homoseksual itu sendiri. Selain itu, pihak KPT dan universiti perlu mewujudkan mekanisme untuk memantau dan menghalang platform “Pelacuran Modern” serta jenayah-jenayah seksual yang wujud di kampus.  Ini termasuklah mengekang aktiviti “Dark Side” di mana ia membabitkan individu yang terlibat melalui aplikasi seperti “Twitter” atau dikenali X, dengan menawarkan khidmat seksual seks tanpa mengira jenis kelamin atau orientasi seksual. Apa yang lebih membimbangkan, platform “Dark Side” juga telah menjadi salah satu alternatif untuk mendapatkan duit secara cepat “Fast Money” dengan menawarkan layanan seksual seperti seks dan penjualan video porno bagi menampung masalah kewangan yang dihadapi. 
  1. Di dalam kajian bertajuk “Faktor Mempengaruhi Mahasiswa terlibat dalam LGBT di Institusi Pengajian Awam Tinggi di Lembah Klang” oleh UKM pada tahun 2019, mendedahkan kurang didikan agama  dan akhlak Islamiah adalah antara punca kepada penglibatan informan dalam LGBT. Peminggiran terhadap pendidikan agama menyebabkan  informan  hilang  panduan dalam kehidupan. Manakala, satu kajian daripada Institusi Penyelidikan Pembangunan Malaysia, juga menyatakan hal yang sama selain , pengaruh masa lampau, kurang penghayatan agama dan mempunyai fahaman atau pemikiran yang terbuka terhadap gay yang menyebabkan golongan belia di Malaysia terlibat dalam kancah homoseksual. 
  1. Mengambil kira kepada faktor di atas, Pembina menyeru kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswa menghidupkan semula budaya mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran “amar maruf dan nahi munkar” di kampus sebagai langkah untuk meningkatkan penghayatan agama dalam diri pelajar universiti selain memerangi segala budaya negatif seperti ikhtilat, gejala songsang, homoseksual, dan lain-lain yang menjurus kepada perbuatan zina. Selain itu, pimpinan pelajar juga perlu mengambil langkah proaktif, bekerjasama dengan pihak universiti untuk menganjurkan lebih banyak wacana atau program advokasi yang membentuk sudut pandang agama dan kehidupan yang betul dalam kalangan pelajar. Tanggungjawab ini tidak terletak hanya pada persatuan-persatuan dakwah sahaja, tetapi seluruh gerakan mahasiswa perlu menggembleng tenaga bagi memastikan budaya negatif ke arah menormalisasikan zina dihentikan. 
  1. Mahasiswa dan mahasiswi diingatkan untuk menjauhkan diri daripada sebarang kegiatan yang boleh membawa kepada HIV/ AIDS termasuklah gejala homoseksual bahawa Islam  melarang  keras  hubungan seks  di  luar  tabii  ini  pasti  ada  sebabnya dan  ia  tidak  pernah  bercanggah  dengan sains  dan  ternyata  dari  sudut  kesihatan, tingkah laku homoseksual yang dijalankan  adalah  berisiko  kepada  virus HIV yang mengundang AIDS.

Disediakan oleh: Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top