Bangi, 5 Nov- Kenyataan YB Nurul Izzah Anwar di blog peribadi beliau (nurulizzah.com) yang menegaskan beliau tidak menyokong atau mempromosikan jenayah murtad di kalangan umat Islam di Malaysia serta kecenderungan beliau sebagai ikon politik muda Parti Keadilan Rakyat, kepada program pendidikan (tarbiyah) dan dakwah untuk memperkukuh aqidah dan meningkat kefahaman Islam di kalangan umat Islam, adalah sesuatu tindakan yang wajar dan seharusnya dipuji.
Beliau, di dalam entri yang sama turut menyatakan kekesalan berikutan respon negatif yang diterima daripada orang ramai rentetan kenyataan yang dibuat di dalam suatu forum yang telah dianjurkan oleh IRF bertempat di Subang Jaya, yang dinilai banyak pihak seolah-olah bersetuju dengan tindakan jenayah murtad di kalangan orang Melayu Islam di Malaysia.
”Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama. Mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata,” kenyataan beliau semasa menjawab solah yang diajukan oleh peserta.
Mohd Aiman Ahmad Faudzi, JK Informasi dan Kajian Pusat, Persatuan Belia Islam Malaysia (PEMBINA) di dalam mengulas kenyataan YB Nurul Izzah berkenaan berkata, “Kenyataan yang telah dikeluarkan oleh YB Nurul Izzah seolah-olah bermaksud beliau secara peribadi menyokong jenayah murtad di kalangan umat Islam yang majoritinya di Malaysia adalah berbangsa melayu. Jelas, kenyataan yang tidak berhati-hati seperti ini seperti ‘senjata memakan tuan’.”
Tambah beliau lagi, Islam bukanlah agama yang membenarkan penganutnya masuk dan keluar agama sewenang-wenangnya. Islam adalah agama menitikberatkan kestabilan masyarakat dan ketinggian aqidah iaitu kepercayaan kepada Allah.
“Saya menggesa YB Nurul Izzah agar mengambil tindakan segera membetulkan kesilapan beliau kepada umum secara terbuka, dan yang lebih penting kepada peserta-peserta yang hadir ke forum tersebut baru-baru ini. Kenyataan beliau telah menimbulkan salah faham di kalangan bukan Islam dan yang lebih utama, telah mengguris perasaan peserta-peserta yang beragama Islam. Beliau harus berani tampil memohon maaf kepada umat Islam di Malaysia di atas kesilapan tersebut,” ujar Aiman lagi.
Aiman juga menyatakan kebimbangan seandainya tiada tindakan membetulkan keadaan, sikap YB Nurul Izzah bakal dilihat hanya untuk kepentingan politik semata-mata dengan menyatakan sesuatu yang bertentangan dengan Islam untuk memenangi hati pengundi bukan Islam, dan penyataan maaf hanya untukmemenangi hati pengundi Islam. Beliau juga mengingatkan agar mana-mana ahli politik muslim yang ingin membuat sebarang kenyataan sama ada di hadapan pengundi muslim mahupun non-muslim meletakkan asas pendirian Muslim pertama, politikus kedua