Bandar Baru Bangi, 6 Nov- Kenyataan ahli panelis di sebuah forum yang bertajuk “Islamic State: Which version? Whose responsibility?” seperti YB Nurul Izzah Anwar serta Malik Imtiaz Sarwar yang mempromosikan bahawa orang Melayu patut diberi kebebasan dalam memilih agama adalah ditentang dan dikecam oleh Persatuan Belia Islam Malaysia (PEMBINA).
Luqman Abd Hamid, Ahli Unit Informasi dan Kajian Pusat, Persatuan Belia Islam Malaysia (PEMBINA) dalam mengulas kenyataan YB Nurul Izzah dan Malik Imtiaz berkata, “Sejarah membuktikan bahawa orang Melayu adalah satu bangsa yang menolak amalan murtad, mereka tidak rela agama Islam ditukar ganti dengan agama yang lain, isu Natrah misalnya, menjadi bukti kukuh bahawa satu Tanah Melayu bersedia mempertahankan akidah mereka apabila mereka berjuang hingga ke Singapura bagi membela Natrah.”
Tambah beliau lagi, agama Islam merupakan elemen penting dalam membangunkan bangsa Melayu, apabila Parameswara memeluk agama Islam, Melaka menyinar menjadi satu kota yang hebat dan ia tidak pernah terjadi sebelum kedatangan Islam di Tanah Melayu, menghilangkan agama Islam daripada menjadi ciri utama Melayu adalah satu usaha yang keterbelakang serta akan memundurkan umat Melayu itu sendiri.
“Saya menggesa ahli panel yang terlibat supaya meneliti semula ucapan mereka, jangan kita bercakap seperti ahli politik yang hanya mahukan kuasa tetapi berkatalah diatas prinsip dan keadilan Islam” ujar luqman lagi.
Luqman menyatakan kegusarannya apabila idea kebebasan beragama ini mula disambut baik oleh ahli parlimen yang lain seperti YB Khalid Samad dan YB Azmin Ali.