Memorandum Membantah Penganjuran “WBS Concert: K Pop Storm Live in Malaysia” Concert 2012

 
Memorandum
Membantah Penganjuran “WBS Concert: K Pop Storm Live in Malaysia” Concert 2012

Kepada : Perdana Menteri Malaysia

 
Daripada : Persatuan Belia Islam nasional (PEMBINA)

Tarikh : 5 November 2012

Tujuan

Memorandum ini bertujuan membantah penganjuran “WBS Concert: K Pop Storm Live in Malaysia” Concert 2012 yang akan berlangsung pada 6 November 2012 di Surf Beach, Sunway Lagoon.

Ringkasan

1. Anjuran Konsert K Pop Storm Live in Malaysia dianggap tidak menghormati budaya dan sensitiviti majoriti warganegara Malaysia yang beragama Islam dan mengamalkan nilai-nilai murni masyarakat Melayu.

2. Pihak penganjur hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan krisis sosial dan keruntuhan moral kesan daripada pengaruh budaya yang dibawa melalui konsert-konsert K Pop sebegini.

3. Konsert hiburan melampau yang tidak dikawal seperti ini dilihat bakal menghancurkan jatidiri generasi muda di Malaysia.

Latarbelakang

1. Hormati budaya dan sensitiviti majoriti warganegara Malaysia yang beragama Islam.

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mewakili seluruh golongan muda di Malaysia yang terdiri daripada belia dan mahasiswa Islam menyatakan bantahan keras terhadap penganjuran Konsert ‘K Pop Storm Live in Malaysia’ dan melihat penganjuran konsert-konsert seperti ini tidak langsung mengambil kira sensitivti majority warganegara beragama Islam serta berpegang teguh kepada nilai-nilai timur dan kesopanan.

Persembahan-persembahan kumpulan-kumpulan K Pop dari Korea Selatan yang diketahui umum telah dijajah pemikiran dan kebudayaannya oleh barat terutamanya dari Amerika Syarikat, dilihat tidak menampilkan budaya Timur. Aksi-aksi lucah dan vulgar di dalam tarian dan nyanyian adalah hasil penjajahan barat ke atas negara Korea Selatan.

2. Hiburan melampau menghancurkan jatidiri generasi muda dan institusi dalam masyarakat.

Kami juga menyelar penganjuran konsert-konsert seperti ini yang dilihat semakin hari semakin berani dan melampau walaupun telah mendapat bantahan pelbagai pihak sebelum ini, contohnya penganjuran konsert serupa di Putrajaya tahun ini sempena Himpunan Jutaan Belia 2012.

Seni dan budaya adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Kesenian adalah manifestasi kebudayaan sesuatu masyarakat. Seandainya suara yang memperjuangkan K Pop yang merosakkan ini mempertahankan tindakan menganjurkan konsert-konsert ini di dalam masyarakat Malaysia, ia merupakan suatu tindakan biadap yang cuba menjadikan masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang mengamalkan nilai-nilai murni Timur menerima K Pop sebagai budaya dan norma yang diterima, sekaligus mencabar sensitiviti rakyat Malaysia.

K Pop yang mempromosikan pakaian, tarian, nyanyian dan gaya hidup negatif bakal mengundang keruntuhan akhlak dan moral generasi muda, merosakkan institusi kekeluargaan yang merupakan tunjang masyarakat dan negara. K Pop dilihat bukan sahaja membawa masuk hiburan, bahkan secara tidak langsung membawa masuk gaya hidup rakyat Korea Selatan yang menghalalkan penzinaan, keruntuhan institusi kekeluargaan, hiburan melampau, menghalalkan minuman keras dan sebagainya.

3. Moral Panik : Keuntungan kewangan ‘vs’ keuntungan moral.

Keadaan ini jika tidak dibendung dari awal, bakal mengundang panik moral di dalam masyarakat berpunca dari pertembungan di antara majoriti masyarakat yang berpegang teguh dengan agama Islam dan nilai-nilai murni, dengan kerakusan golongan kapitalis mengaut keuntungan di atas keruntuhan moral generasi muda. Golongan kapitalis yang hanya minority, mengaut keuntungan di atas kesengsaraan masyarakat awam.

Jatidiri generasi muda yang rosak bakal membawa kepada ketidakstabilan di dalam masyarakat dan negara. Gejala sosial, jenayah, kerapuhan identiti, kelesuan produktiviti dan simptom-simptom lain yang dilihat berpunca daripada kehancuran jatidiri bukan sahaja bakal merencatkan ekonomi negara, malah menimbulkan ketidakamanan dan ketidaksejahteraan di dalam masyarakat. Hanya masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni dan menjauhi jenayah sahaja yang dapat menjami kestabilan sosial, ekonomi dan keselamatan.

Cadangan dan tindakan

1. Tindakan tegas perlu diambil agar ia tidak lagi berulang

Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dengan menghentikan konsert-konsert seperti ini dari diteruskan penganjuran.

2. Penggubalan kod etika, garis panduan dan akta bagi pihak yang melanggar peraturan yang ditetapkan.

Pihak kerajaan digesa mengusulkan satu kod etika yang jelas, garis panduan penganjuran konsert yang dapat mengawal dan akta bagi pihak-pihak yang tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Kod-kod etika ini merangkumi kod berpakaian, jenis tarian yang dibenarkan, kod bahasa yang tidak mengandungi unsur-unsur lucah dan tidak mempromosikan nilai-nilai yang bertentangan dengan norma serta sensitiviti masyarakat.

3. Penubuhan badan pemantau oleh pihak penguatkuasaan.

Penubuhan suatu badan pemantau khusus yang dikelolakan oleh pihak penguatkuasaan amat wajar, perlu dan penting agar perkara ini sentiasa diberikan perhatian oleh pihak-pihak penganjur sebagaimana mekanisme kawalan ke atas apa jua bentuk tayangan di dalam dilakukan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

 

IBRAHIM B. MOHD HASAN                                                  
Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top