Pendidikan seks perlu berlandaskan Islam

KUALA LUMPUR 3 Mac (UTUSAN) – Tokoh agama dan cendekiawan menyokong penuh usaha kerajaan melaksanakan pendidikan seks di peringkat sekolah bagi menyediakan golongan muda pengetahuan mengenai perkara tersebut.

Bagaimanapun, mereka meminta kerajaan menerapkan sukatan pelajaran itu dengan berlandaskan ajaran agama Islam.

Mereka juga berharap langkah itu dapat memberi kesedaran kepada golongan muda bahaya hubungan seks luar nikah selain menyelesaikan kes pembuangan bayi dan gejala negatif yang lain.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut berkata, pendidikan seks merupakan satu perkara besar kerana ia melibatkan hukum agama, sosial dan budaya yang berlainan di negara ini.

“Langkah terbaik adalah dengan melaksanakan pendidikan di peringkat sekolah terlebih dahulu.

“Bagaimanapun satu perbincangan perlu diadakan antara wakil para ulama, pegawai kesihatan, ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perkara itu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, para guru di negara ini belum bersedia untuk mengendalikan pendidikan seks di sekolah kerana mereka kurang latihan profesional dalam subjek itu.

Menurutnya, walaupun kesatuan itu menyokong penuh usaha kerajaan untuk menyediakan pendidikan seks di sekolah-sekolah, sesuatu yang menyedihkan para guru sebenarnya kurang latihan formal dari segi kerumitan dan sensitiviti subjek itu dan tidak yakin untuk mengajarnya.

Nooh berkata, guru-guru perlu yakin mengajar pendidikan itu secara berperingkat agar teori yang sedia ada dapat diperbaiki lagi bersesuaian dengan hukum agama, kajian dan peredaran zaman.

“Sukatan pendidikan seks dari barat tidak sesuai digunakan di negara ini kerana ia bukanlah jalan penyelesaian terbaik tetapi ia lebih mendatangkan masalah jika kita mengikut sukatan mereka,” katanya.

Sementara itu, bekas Imam Besar Masjid Putra Putrajaya, Tan Sri Abdul Kadir Talib berkata, pendidikan seks merupakan sesuatu yang semulajadi dan harus diajar kepada setiap yang bernafsu agar seninya tidak disalah erti.

“Pendidikan seks di negara ini perlu diberikan sebaik sahaja anak-anak muda mencapai usia akhil baligh iaitu sembilan tahun bagi perempuan dan 12 tahun bagi lelaki.

“Pelaksanaan pendidikan ini perlu berhati-hati manakala teorinya perlulah kemas dan mudah difahami agar tidak terjadinya perkara yang tidak diingini selepas mereka mempelajarinya,” katanya.

Beliau berkata, pendidikan seks perlu diberikan sesuai mengikut peredaran zaman dan faktor sekeliling juga perlu diambil kira.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Dr. Ahmad Kamsari Samingan pula berkata, guru-guru yang terlibat dalam mengendalikan pendidikan seks di sekolah perlu merujuk kepada ajaran Islam.

“Pendidikan ini bukan sekadar mengajar mengenai hubungan kelamin yang suci dalam Islam malah ia turut memberikan pendedahan tentang tanggungjawab anak-anak muda.

“Pendidikan ini juga perlu mengutamakan sukatan pelajaran tentang aspek pergaulan seharian lelaki dan wanita serta mempelajari mengenai organ seksual,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top