Apabila kita menerima voucher yang bertulis “Sakratulmaut” yang dibawa terus oleh petugas khusus dari kalangan malaikat bernama Malakul Maut, ini bermakna kita sedang berada pada tahap terakhir dari perjalanan kita di dunia dan di tahap awal memasuki penginapan baru yang bernama “Barzakh”.
Seperti yang sudah dijelaskan sebelum ini, untuk memasuki penginapan yang baru tersebut kita terlebih dahulu mesti membuka pintu masuknya.
Nah, pintu masuknya itu bernama “Kematian”. Ya, Kematian…Itulah fasa yang mesti kita lalui setelah melalui fasa “Sakratulmaut” .
Dengan kematian itu kita berhak mendapatkan tempat diAlam Barzakh.
Kematian adalah sesuatu yang ditakuti ramai orang. Walaupun pada kenyataanya, tidak ada seorangpun yang dapat menghindarkan diri atau lari dari kematian itu walau siapapun dia, rajakah dia, presidenkah dia, peniagakah dia, jeneral berbintang limakah dia, di mana dan bilapun mereka berada. Mereka pasti mati.
Selama mereka memiliki nyawa, pasti akan mengalami kematian. Perkara ini telah menjadi ketentuan dan kehendak Tuhan Pencipta sebagaimana di jelaskan-Nya dalam ayat-ayat berikut :
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati…” (QS Ali Imran : 185)
“Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.” (QS An-Nisa’ : 78)
Kematian sudah ditentukan bagi setiap yang bernyawa. Kematian tidak perlu dicari kerana ia yang mencari setiap yang bernyawa.
Kematian tidak boleh diwakilkan, dipindahkan atau diambil alih oleh yang tidak berhak kerana petugas kematian, iaitu Malakul Maut yang diberikan tugas khusus menguruskannya belum pernah dan tidak akan pernah menerima sogokan kerana semua Malaikat melakukan semua apa yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka tanpa sedikitpun penyelewengan apalagi manipulasi, seperti yang Allah jelaskan :
“Katakanlah: “Malaikat maut yang diserahkan untuk (mencabut nyawa) mu akan mematikan kamu; kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan. ” (QS As Sajdah :11)
Demikian juga, bahwa kematian akan datang pada saatnya atau ketika ajal (batas)nya habis. Kematian tidak boleh diundurkan walau barang sedetik. Tidak sedikit orang yang mencuba untuk mengundurkan kematian, tapi usahanya gagal dan sia sia belaka kerana kematian adalah pintu masuk tempat tinggal sementara ketiga kita, iaitu Alam Barzakh.
Maka, kita pun mesti memasukinya kerana rentang waktu menginap di dunia sudah habis serta tempat kita di dunia sudah di “booking” oleh Malaikat untuk penghuni lain selain kita.
Allah telah mengingatkan kita tentang perkara ini dan apa yang perlu kita lakukan sebelum kematian (maut) itu menjemput kita, seperti yang tercantum dalam firman-Nya :
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Barang siapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: “Ya Tuhan Penciptaku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?” Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan ” (QS Al-Munafiqun : 9 – 11)
Voucher “Sakratulmaut” sudah diberikan dan pintu Alam Barzakh yang bernama Kematian sudah dibukakan. Maknanya, “Sakratulmaut” adalah suatu kenyataan yang harus kita lalui.
Keberadaannya adalah sebuah kebenaran. Maka yang menjadi perhatian kita sesungguhnya bukanlah Kematian itu kerana Kematian itu adalah kehendak Tuhan Pencipta dan Pemilik alam semesta ini. Tidak ada pilihan lain bagi kita dan mustahil kita mengelakkan diri darinya. Suka atau tidak suka, kita pasti melaluinya pada waktu yang sudah ditetapkanNya.
Di samping itu, Kematian adalah yang mengakhiri dan menutup semua pintu kenikmatan, ikhtiar, pilihan, aktiviti dan bahkan doa kitapun sudah tidak diperkenankan.
Kita hanya akan menikmati hasil karya, ikhtiar, pilihan dan doa yang telah kita lakukan semasa kita tinggal di dunia, tempat penginapan kita yang kedua. Itupun dihitung setelah kita dewasa dan di atas pilihan kita sendiri, bukan kerana paksaan, lupa atau ketiduran.
Subhanallah! !! Alangkah besarnya kurniaan dan kasih sayang Allah pada kita semasa kita di dunia. Kurniaan yang sudah disiapkan-Nya untuk kita di Alam Barzakh dan Akhirat sungguh jauh lebih besar dan lebih baik lagi.
Bersiap sedialah kita sebelum kita dijemput Kematian (Maut) yang waktunya Allah rahsiakan. Ia boleh datang ketika ini, satu saat selepas ini, satu minit selepas ini, satu jam selepas ini, satu hari selepas ini, satu minggu selepas ini, satu bulan selepas ini atau satu tahun selepas ini dan seterusnya.
Sebelum Kematian menjemput kita, cubalah gunakan kecerdasan kerohanian, emosi dan daya berfikir yang Allah berikan kepada kita untuk menangkap rahsia di sebalik Kematian itu. Lalu, tanyalah diri kita secara jujur di sekitar pertanyaan-pertanya an berikut :
1. Siapakah yang menghadirkan kita ke dunia ini?
2. Apakah kita sudah mengenal Tuhan Pencipta kita dengan baik?
3. Apakah kita sudah mengenal Kitab Petunjuk kehidupan (Al Quran) yang diturunkan-Nya untuk kita?
4. Apakah kita sudah mengenal seorang manusia bernama Muhammad Bin Abdullah saw yang diutus-Nya untuk menjelaskan isi Kitab Petunjuk kehidupan tersebut?
5. Apakah kita akan hidup di dunia ini selama-lamanya?
6. Tidak cukupkah kematian manusia yang kita lihat setiap hari di atas muka bumi ini dengan berbagai sebab seperti gempa bumi, tsunami, angin taufan, banjir besar, peperangan, sakit jantung, selsema babi dan bahkan ada yang tidak sakit sama sekali, menjadi pelajaran berharga bagi diri kita dan kita juga pasti akan mengalaminya di mana persoalannya hanya batas waktunya?
7. Bagaimana pandangan kita terhadap kehidupan dunia ini?
8. Bekalan apakah yang sudah kita siapkan untuk menghadapi kehidupan setelah kematian?
9. Apakah kita sudah membuat penilaian dan pertimbangan terhadap aktiviti kehidupan kita selama ini samada berada di atas jalan yang Allah kehendaki atau tidak?
Demi Allah, kita semua akan mati. Itu adalah kepastian yang tidak ada keraguan di dalamnya. Kematian adalah khabar yang paling boleh dipercayai yang tidak dinodai oleh syak wasangka sedikitpun.
Demi Allah, ia pasti datang dan tiada tempat lari darinya. Tiada yang dapat mencegahnya. Ia datang dengan tiba-tiba. Ia tidak pernah mengetuk pintu rumah kita Ia tidak pernah datang meminta izin kepada kita terlebih dahulu. Ia sentiasa dekat dengan setiap orang. Ia adalah janji yang diberikan pada kita dan setiap orang. Semua manusia akan merasakan kedahsyatan maut yg akan membuat warna jari memucat.
Wahai pemilik kematian, mengapa kau perturutkan jiwamu mencari kesenangan yang fana?
Maut akan merobek baju dan memisahkanmu dari kesenangan. Mengapa kau hancurkan badanmu untuk meraih kesenangan yg sedikit?
Firman Allah, ” Katakanlah: ‘Lari itu sekali-kali tidaklah berguna bagimu, jika kamu melarikan diri dari kematian atau pembunuhan, dan jika (kamu terhindar dari kematian) kamu tidak juga akan mengecap kesenangan kecuali sebentar sahaja.” (QS Al Ahzab : 16)
Apakah kita mempunyai ubat penangkal maut? Apakah kita memiliki tempat berlari darinya atau dia akan berpaling menghindarkan diri dari kita? Apakah kita tidak tahu bahwa kematian tidak mengenal yang kecil dan dewasa, yang kaya dan yang miskin, yang kuat dan yang lemah. Ia juga tidak tahu mana yang mulia dan mana yang hina?
Berapa banyak orang yang mulia dihinakan oleh kematian. Di atas kepalanya ada bendera yg disembunyikan.
Allah SWT berfirman, “Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata, `Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) ku sampai waktu yg dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan termasuk orang-orang yang soleh?.’ Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kemtaiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yg kamu kerjakan.” (QS Al Munafiqun : 10 – 11)
Kita tidak kekal hidup di dunia ini. Apakah kita yakin bahwa diri kita akan hidup kekal di dalamnya? Apakah kita tahu, setiap hari ada orang mati diusung, entah keluarga terdekat, sahabat handai atau jiran tetangga kita. Mengapa mereka tidak pernah kembali lagi?
Sungguh menakjubkan seseorang yang mengganggap bumi tempat tinggalnya dan berusaha keras meraih puncaknya. Cukuplah seseorang diingatkan dengan dekatnya kematian. Yang akan menjadikan tanah sebagai teman pendampingnya.
Wahai pemilik kematian, Allah SWT telah mentakdirkan kematian dengan ketetapan yg tidak akan pernah berubah. Lalu, apakah kita dapat mencegahnya?
Kita mungkin mencuba minum ubat atau mendapatkan vaksin untuk menyembuhkan suatu penyakit. Namun, adakah ubat yang menyembuhkan kematian?
Kita akan mendatangi doktor jika sakit. Namun, adakah doktor yang dapat menunda datangnya keputusan?
Nafas kita terbatas. Seluruh gerakan kita menuju titik fana. Kalau keputusan Allah adalah perkara yang tetap, bagaimana mungkin seseorang dapat berlari dan menghindar diri darinya? Siapapun yang hendak mencegah kematian dan menolak takdir, niscaya usahanya akan sia-sia.
Allah SWT berfirman, “(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata, ‘Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal yg soleh terhadap yg telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yg diucapkannya sahaja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan. ” (QS Al Mu’minun : 99 – 100)
Mari berhenti sejenak. Bersama, kita cermati pemandangan yang dahsyat ini. Inilah saat yang mencengkam. Sejenak, tanyalah diri kita, hendak ke mana dan sampai bila?
Katakan kepada jiwa kita. “Tidakkah kau mengerti mereka yang telah disergah kematian adalah jiwa-jiwa seperti diri kamu juga. Seolah-olah mereka tidak mempercayai, bahwa ajal telah datang?
Begitulah, ketika maut datang menjemput, nampaklah pemandangan yg sebelumnya tidak mereka sangka. Bertaubatlah sebelum kita berkata, apakah ada cara untuk mencegahnya? ” dan dikatakan kepada kita, “Tidak!” katakan pada diri kita,
Wahai jiwa, bertaubatlah. Sesungguhnya kematian telah datang. Setiap hari selalu ada mayat yg kita kuburkan. Tetapi kita melupakan jejak kematiannya.
Wahai jiwa, apa ertinya harta yang ku simpan di belakangku, padahal aku akan keluar dari dunia dengan telanjang.
Mengapa kita masih berselisih tentang kematian, melupakan sesuatu yg tidak pernah melupakan kita?
Katakan padanya, kematian adalah tetamu. Bersiaplah menyambutnya sebaik mungkin. Beramallah untuk bekalan di alam yang kau jadikan tempat tinggal abadi.
Wahai jiwa, esok kau akan berjalan di Titian Shirat (di atas neraka). Sedarlah sebelum kau tergelincir darinya.
Wahai pemilik kematian, inilah dunia. Seluruh kenikmatannya akan dirampas, seluruh angan-angannya hanyalah bualan dan semua harta yang ada di dalamnya akan diwarisi.
Semua yang hilang akan kembali, tetapi yang hilang kerana mati tidak akan kembali.
Mengapa kita tidak sedarkan diri, mengganggap seolah-olah kematian boleh dialihkan kepada orang lain yg menjadi perisai kita?
Akhirnya marilah kita amati perkara ghaib yg menakutkan ini. Mari ubati kerasnya hati kita. Berimanlah kepada hari Qiamat sebelum kedatangannya. Bersusah payahlah mempersiapkannya sebelum menyesal. Ingatlah kematian sebelum terlambat.
Rasulullah SAW memperingatkan kita dalam sebuah hadis : “Banyakkanlah mengingati perosak kenikmatan iaitu kematian.” (HR At Tirmizi)
Ya Allah, janganlah kau jadikan hati kami keras dan lalai dari mengingati kematian kerana sesungguhnya ia adalah berita yg paling soheh untuk dipercayai kedatangannya serta kurniakanlah keteguhan iman di dalam hati kami supaya kami tidak mudah terpedaya dengan janji-janji kemewahan dunia yang sebenarnya tidak kekal dan akan musnah apabila berhadapan dengan kematian dan yang tinggal kekal hanyalah amal soleh yang ikhlas kepadaMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
Kredit: Tulisan Akhi WAS
Dipetik daripada:http://pembinaselangor.com/