Pendidikan Perisai Kemuliaan Insan

Oleh:

Norzafry Norhalim
Ketua Biro Media
(MEDIA PEMBINA)

 

Dunia pada masa kini menuntut kita untuk lebih kebal dalam menghadapi dugaan iman. Hari demi hari, kemungkaran seakan menjadi satu asam garam dalam kehidupan, hampir-hampir menjadi ibarat segelas air yang ditawarkan kepada insan yang kehausan.

Maka para pembela kebenaran mula mencari formula untuk menepis segala kemungkaran ini dari menusuk kedalam darah daging generasi wawasan negara.


Saudara/i yang dimuliakan,

Kita masih yakin kepada formula kejayaan yang telah diuji oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Mereka telah bersama-sama menjadi contoh dan role model kepada kita dan disifatkan sebagai Generasi Al-Quran yang cukup unik. Saban hari kita menelaah pelbagai kitab dan buku-buku menceritakan perihal kehebatan para Nabi dan sahabat. Ada yang terkesan dengan kisah-kisah ini hingga menitiskan air mata, ada yang tersenyum sendirian tatkala membaca, tidak kurang juga yang terlelap mata dek kepayahan memahami bahasa kitab-kitab terjemahan ini.

Namun disebalik baris kalimah di buku-buku tersebut, ada rahsia yang cuba disampaikan kepada kita. Ada satu formula yang mampu menongkah arus durjana yang cuba merosakkan akhlak belia Islam. Formula yang dicari-cari oleh setip insan yang tidak sanggup kekal dalam kebinasaan akhlak ini.

Pendidikan.

Ya, kalimah inilah yang akan bertindak sebagai baju kalis peluru yang mampu menahan terjahan peluru-peluru gejala sosial yang disemarakkan oleh Yahudi.

Bagaimana?

Saudara/I sekalian,

Kita berdepan dengan pelbagai alat yang menjadi ruang untuk Barat menyampaikan doktrin mereka. Kita buka TV, lantas terpampang gaya hidup Barat yang mengasyikkan kita, yang memanggil kita untuk turut menggayakannya, yang melaungkan kita “Inilah gaya hidup yang berjaya”. Kemudian berapa banyak pula kes yang dipaparkan di dada akhbar tentang penyalahgunaan web, di mana terdapat ribuan laman web yang “enak dilihat mata, tetapi binasa hati dibuatnya”. Ribuan saluran, ribuan laman, ribuan majalah, dan ribuan tempat-tempat hiburan yang boleh dikatakan tiada halangan untuk sesiapa sahaja pergi.

Nah, siapa yang boleh menghalang satu “klik” pada tetikus di kala hanya ada 2 biji mata sahaja yang menatap skrin computer? Siapa yang boleh menghalang seseorang menyumbat puluhan dan ratusan saluran TV yang tidak ditapis mengikut neraca syariat Allah s.w.t?

Saudara/I sekalian,

Saya yakin dengan kejayaan yang dikecapi Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Saya melihat bahawa tidak ada jalan lain untuk kita tepis segala tekanan akhlak Barat ini melainkan dengan pendidikan.

Diceritakan bahawa seorang sahabat yang diajak untuk berzina, dan akhirnya apabila beberapa saat sahaja sebelum maksiat itu berlaku salah seorang mereka berkata “Aku takutkan Allah” dan akhirnya gagal maksiat tersebut.

Ini tidak mungkin berlaku melainkan dengan satu didikan yang utuh berdasarkan neraca keimanan kepada Allah s.w.t. Setiap insan perlu memahami hakikat kehidupan yang sementara ini, yang mana setiap tindak tanduk kita diperhatikan dan akan dibalas oleh Allah s.w.t. Kefahaman terhadap syurga dan neraka ini tidak mungkin dijelmakan dengan ketaatan kepada Allah melainkan dengan penghayatan yang asli dan berterusan.

Pendidikan jugalah yang akan membawa kita memahami yang mana putih dan yang mana hitam, yang mana baik dan yang mana buruk berdasarkan ukuran syariat Allah s.w.t. Bahkan, di kala umat Gaza diserang bertalu-talu, pendidikan jugalah yang membawa islam di seluruh dunia untuk membantu mereka. Kerana tanpa didikan dan kefahaman tentang isu Palestin, seseorang boleh berkata “Kenapa aku perlu tolong mereka?”

Di kala kita bersendirian, pastikah kita boleh teguh di atas jalan Allah s.w.t tanpa disuruh oleh sesiapa?

Seandainya kita berada dalam satu kelompok yang mana maksiat menjadi “trend”, semua orang buat dan kalau kita tak buat kita ketinggalan, adakah kita mampu berkata “TIDAK” kepada maksiat tersebut?

Saya tidak melihat jalan lain melainkan melalui pendidikan yang menyeluruh ke atas akal dan hati para belia islam yang kita sayangi. Saya meyakini bahawa hanya kefahaman dan keyakinan utuh hasil dari didikan berterusan sahajalah yang mampu menjadi perisai dalam menghadapi dunia yang semakin terbuka dan bebas ini.

Wallahu’alam bis-sawab

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top