BANGI, 26 Mac- Jawatankuasa Politik Kampus, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Luqman Abd. Hamid kesal akan penangkapan mahasiswa ketika ‘Demontrasi Bantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST)’ di Kompleks Kastam Petaling Jaya semalam.
Luqman menyifatkan demonstrasi itu sebagai satu penerokaan mahasiswa dalam mencari identiti.
Baginya demonstrasi seperti itu merupakan perkara biasa sejak dari zaman ‘mahasiswa menggugat.
Hal ini disebabkan sifat mahasiswa yang inginkan penjelasan dan ia adalah satu bentuk pencarian identiti.
“Namun perkara itu boleh dielakkan jika kedua belah pihak mempunyai nilai kematangan seperti mengadakan dialog dan meja bulat untuk mencari solusi.
“Masalah sentiasa ada, cuma bagaimana kita menyelesaikan masalah itu akan memberi gambaran terhadap tahap intelektualisme dan aktivisme mahasiswa. Mencari solusi tidak bermakna kita boleh melanggar undang-undang”, tambahnya lagi.
Berhubung dengan pelaksanaan GST tidak lama lagi, Luqman berkata GST adalah insiatif baik untuk menambah pendapatan negara, namun ketirisan dalam perbelanjaan kewangan menyebabkan segelintir rakyat tidak yakin dengan kerajaan dalam melaksanakan sistem cukai GST.
Menurutnya lagi kerajaan perlu memberi penerangan secara berfokus melalui kerjasama dengan persatuan-persatuan belia dan mahasiswa.
Hal ini kerana akses penerangan melalui iklan tv dan majlis bersama menteri tidak mencukupi bagi memahamkan mahasiswa mengenai GST secara keseluruhan.