KUALA LUMPUR, 31 Mac – Kunjungan hormat oleh Jawatankuasa Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Kuala Lumpur yang diketuai oleh Pengerusi Cawangan, Iqbal Hakim Abdul Razak ke pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) Universiti Malaya kelmarin telah disambut baik oleh TNC HEPA Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Rohana Yusof bersama dua pegawai HEP.
Dalam pertemuan hampir selama dua jam itu, beberapa titik persamaan idealisme antara kedua-dua pihak ini telah dibincangkan. Antaranya adalah berkenaan idealisme perjuangan mahasiswa kini.
Datuk Rohana menyuarakan kekesalan beliau atas tindakan sesetengah mahasiswa yang hanya berjuang tanpa menghadami sesuatu ilmu dengan teliti.
“Kami suka sekiranya pelajar-pelajar mahu mengadakan wacana yang sihat tetapi biarlah wacana tersebut menampilkan ilmuwan arif dan berautoriti yang berkaitan dengan sesebuah isu yang mahu dibincangkan.
“Wacana itu juga seharusnya mempunyai nilai ilmu yang memberi kefahaman kepada pelajar dan bukanlah mengandungi sudut pandang perang politik semata-mata,” ujarnya.
Hasil pertemuan ini telah memberikan satu titik persefahaman idea yang jelas seterusnya berkongsi solusi dalam mendepani situasi kelompongan aktivisme dalam kalangan mahasiswa.
PEMBINA percaya bahawa gagasan aspirasi PEMBINA itu sendiri mampu mengisi kelompongan tersebut.
“PEMBINA sedia untuk memberi kerjasama kepada semua pihak dan HEPA UM khususnya untuk meningkatkan jati diri para mahasiswa, juga, memberi kesedaran kepada mereka untuk meletakkan agenda hidup yang betul melalui pelbagai program yang PEMBINA laksanakan,” ujar Iqbal Hakim.