“Maka apabila kamu telah selesai dari satu urusan maka kerjakanlah dengan sungguh-sungguh urusan yang lain”
(QS. Al Insyirah: 7)
Selalu orang menggunakan ayat ini hendak menjelaskan lepas sudah selesai satu kerja, boleh buat benda lain pula. Hari ni saya nampak ayat ini dari satu perspektif lain, iaitu tentang meletakkan prioriti dalam kehidupan.
Kehidupan sebagai seorang daie itu, tidak dapat dinafikan, adalah satu kehidupan yang sangat sibuk. Tak cukup dengan kerja dan tanggungjawab harian, kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah yang sangat banyak mengambil hampir semua masa yang kita ada.
Andai kita tidak tahu bagaimana hendak meletakkan prioriti terhadap timbunan kerja yang menanti, kebarangkalian besar kita akan serabut. Tanpa kemahiran meletakkan keutamaan yang sepatutnya, kita mungkin cuba nak buat semua benda dalam satu masa. Akhirnya, semua kerja dibuat tapi secara touch-n-go sahaja.
Kerja siap, tapi tak sempurna. Mungkin juga, semua kerja disentuh, namun tak siap kerana tiada fokus. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Paling teruk, andai memang tidak diuruskan dengan baik, akan menyebabkan kita pengsan dalam timbunan kerja yang tak terurus itu.
“Maka apabila kamu telah selesai dari satu urusan maka kerjakanlah dengan sungguh-sungguh urusan yang lain”
(QS. Al Insyirah: 7)
Sebab itu sebagai daie, kita perlu tahu bagaimana hendak meletakkan prioriti. Kita perlu kenal mana satu kerja yang penting dan segera, penting tapi tak segera, tak penting tapi segera dan tak penting dan tak segera. Keupayaan untuk mengklasifikasikan tugas-tugas harian kita ini akan membolehkan kita menyusun jadual waktu kita dengan effisyen serta dapat memberikan sepenuh fokus untuk menyelesaikan satu-satu kerja, pada satu-satu masa.
Menguruskan waktu dengan baik serta meletakkan prioriti dalam menguruskan kerja-kerja harian adalah satu nilai tambah bagi seorang daie. Andai seorang daie itu mampu menguruskan kehidupannya yang amat sibuk itu, maka insyaAllah, ini menyediakan diri mereka sebagai seorang pemimpin yang tersusun urusannya.
Andai bukan kerana kita seorang daie, mungkin kita terlalu mewah dengan masa dan akhirnya ia dibazirkan dengan perkara maksiat dan sia-sia. Andai bukan kerana kita seorang daie, mungkin kita tak mampu nak memikul beban tugas yang besar kerana tidak berpengalaman menguruskan hidup yang serba sibuk.
Kerana itu, bersyukurlah wahai para daie sekalian kerana kesibukan waktu itu adalah satu tarbiyyah dan proses pembinaan kepimpinan buat dirimu. Gunakan kesempatan waktu ini untuk belajar meletakkan prioriti yang betul pada tugas-tugas harian kita agar kita dapat sentiasa menyumbangkan yang terbaik untuk ummah.
Bersedialah untuk berkorban.
Bersedialah untuk ditarbiyyah.
Bersedialah untuk memimpin
Hanan Binti Othman
Jawatankuasa Latihan dan Kepimpinan PEMBINA